*Blog ni masih separuh siap sejak diimport dari wordpress hosting. Maaf atas kesulitan.

Ahad, 1 Ogos 2010

Ada apa pada sebuah blog yang buat aku suka nak baca? (pada aku sekurang-kurangnya)

Aku akui aku bukanlah blogger yang tegar, cekap, mantap dan berkarisma.

Jujurnya boleh dikatakan entri-entri dalam blog aku yang berusia hampir dua tahun ni terbahagi kepada dua. Kisah harian dan cetusan pemikiran.

Entri berbentuk kisah harian atau jurnal aku biasanya ditulis serta merta tanpa rujukan mana-mana, dan kebiasaannya entri ni sangat merapu. Maaflah pada pembaca sekalian (walaupun tak ramai, anda sangat bernilai pada saya).

Tapi entri yang berbentuk pendapat selalunya akan dibuat dalam bentuk draf dan dibaca semula beberapa kali sebelum di publish untuk mengelakkan kesalahan fakta. Dan yang paling penting, hasil tulisan itu adalah tulisan aku yang ASLI.

Bukan petik idea orang lalu olah semula seolah-olah kitalah yang lebih faham.

Berbalik pada tajuk, aku sangat mengagumi beberapa blog yang pada aku adalahgenuine, tanpa pengambilan fakta yang diolah semula dari blog-blog lain (copy, paste, edit dan tambah isi ikut ayat sendiri). Antara yang genuine, tu, lihat di blogroll sebelah kanan blog ni okay? Hanya itu yang wajib dibaca oleh aku setiap kali membuka internet.

Bukanlah mengata apa, tapi kebanyakan blog lain lebih kepada memberitahu sesuatu yang sudah aku tahu. Tips-tips seperti penjimatan minyak contohnya, atau pengurusan (menguruskan) badan, memilih jeans hatta pakaian lain pun, adalah isi yang sama yang boleh diperoleh dari majalah-majalah fesyen di luar sana.

Siapa copy paste siapa? Aku pun tak tahu kerana sekarang kita hidup dalam dunia tanpa sempadan. Siapa-siapa pun boleh meniru siapa-siapa bila internet menjadi sumber rujukan utama. Lalu blogger itu dikatakan sebagai blogger yang berilmu kerana isinya cukup berat, mantap dan padat – sedangkan isinya banyak diambil dari blog orang lain.

Beberapa blog yang dikatakan popular, aku baca satu persatu. Baik ditulis lelaki atau wanita, setelah diamati, isinya hampir sama. Hampir setiap entri. Hampir setiap hari.

Kalau semalam harga minyak naik, hari ini semua berpakat menulis isi yang sama – cara jimat minyak. Ajaibnya susunan nombor tipsnya juga sama, cuma ada satu dua yang bertukar tempat, tapi pokoknya sama. Mungkin terkeluar dalam suatu isu majalah, lalu mereka kebetulan membaca majalah itu, lalu keluarlah entri dengan isi yang sama.

Jujurnya sebagai orang yang belajar tentang kejuruteraan, aku rasa nak marah kerana ada antara fakta yang diberi majalah dan blogger tu adalah salah dari segi ilmu, kerana itu cuma adalah pendapat masing-masing yang difikirkan logik saja tanpa berlandaskan ilmu……..

Kita semua kena tipu!

Membuatkan aku berasa bosan baca benda sama berulang kali, umpama dileter ibu hari ini tentang perkara yang telah dileteri semalam. Hari-hari benda sama. Bosan, bukan?

Mungkin yang berkenaan boleh kata, blog aku, suka hati aku lah. ……..jangan biasakan dengan budaya ‘akutidakpedulisma’ ni.

Sekali fikir, adakah ini disebabkan oleh pengaruh blogger lain yang mahu mencari pembaca sebab mahu rating tinggi, atau mahu duit iklan tinggi? Atau semuanya suka kepada populariti?

Tepuk dada jawab sendiri.

Yang kedua, penggunaan bahasa.

Jujurnya, aku malas mahu baca blog yang menggunakan bahasa rojak dan bahasa rosak. Dalam blog ni kalau semua perasan aku sedaya upaya menggunakan bahasa Melayu yang penuh melainkan ‘ini’ dan ‘itu’.

Bahasa rojak ialah bahasa yang bercampur Melayu Inggeris. Kalaulah perkataan Melayu tak sesuai (plug and play contohnya bagi cucuk dan main), gunalah Bahasa Inggeris tapi jangan lupa Italic kan supaya kita tahu itu perkataan Inggeris.

Bahasa rosak pula ialah bahasa menggunakan perkataan-perkataan yang ejaannya diubah.

Contoh:

1. Pecite – Apa cerita. (Tulislah penuh-penuh! Aku ni orang tua yang kolot……)

2. Ko – Rupanya maksudnya ‘kau’….satu huruf je lagi, janganlah kedekut nak tulis…

3. Aq – Al-Quran ke? tak..maksudnya ‘aku’..

4. Ringkasan perkataan atau short form – gunalah tapi biarlah benda tu pembaca boleh faham…….

Aq skt atie dgn mgkuk nie, ap kes mjhnmkn hrta bda aq.

ya, kau sakit hati dengan mangkuk tu, tapi aku sakit hati dengan kau sebab susah nak baca!!

5. Kalau boleh, janganlah gunakan susunan perkataan seperti bercakap dalam telefon, ringkas sangat sampai tak tahu apa benda yang nak diceritakan……………..hal ini selalunya terjadi dalam blog orang perempuan..Maaf ya.. mungkin kalian banyak sangat perkara nak tulis sampai semuanya jadi ringkas. Seperti bertih jagung berbentuk tulisan.

Yang terakhir, buat kajian sebelum menulis. Ada yang suka menulis benda-benda berat, tapi banyak merapu dan isinya diambil dari orang lain yang sumber mereka juga tidak diketahui asal sahihnya. Main copy, paste dan publish. Fakta mesti betul.

Mungkin benda ni remeh, tapi bagi sesetengah pembaca yang cukup particular dengan fakta, satu kesilapan fakta saja sudah membuatkan beliau tidak berkunjung lagi ke blog anda. Dan aku juga begitu.

Anda fikirkan sendiri.

p/s: Sekali lagi diingatkan, aku adalah pembaca tua yang kolot dan sedikit cerewet…..