*Blog ni masih separuh siap sejak diimport dari wordpress hosting. Maaf atas kesulitan.

Sabtu, 20 Julai 2013

Baru graduate, beli kereta, satu kesilapan besar? Betul ke?

Sebagai graduan yang baru melangkah ke alam pekerjaan, tak salah rasanya kalau saya katakan, ramai di antara mereka yang melakukan pembelian kedua terbesar dalam hidup mereka, iaitu kereta. (pembelian terbesar adalah rumah - mengikut trend orang kita).


Ada yang mengatakan bahawa membeli kereta adalah satu kesilapan besar para graduan. Sejauh mana benar kenyataan tersebut?

Lebih-lebih lagi dengan semua ada 'Graduate Scheme' yang tak perlu downpayment dan tak perlu guarantor. Yang anda tak tahu, bila takde downpayment automatiknya bayaran bulanan akan jadi tinggi. Interest bank pun lebih tinggi. 

Sila maklum interest kereta nasional adalah serendah dari 2.68% tapi untuk skim ni interestnya adalah 3% dan ke atas!

Sejak zaman saya belajar sampailah kerja, antara perkataan yang paling femes dalam diari seorang engineer adalah 'analyze' atau pun analisis. Lepas tu, troubleshoot.

Jadi apa lagi, jom kita analyze secara detail.


Nett value diri anda sekarang berapa?

Secara umumnya, para graduan yang baru tamat pengajian akan memulakan hidup dari nilai kewangan yang negatif. Ya, negatif! Bermaksud mereka tamat pengajian dan memulakan pekerjaan dengan hutang. 

Nett worth mereka adalah negatif.

Disebabkan oleh pinjaman pendidikan yang mereka pinjam, maka mereka berhutang sebaik sahaja graduate.

Kita ambil contoh hutang seorang graduan IPTA yang berkelulusan ijazah. Hutang graduan IPTS dah tentu lebih mahal. 

Sekarang pergi ambil kalkulator, kira sama-sama dengan saya.

Hutang PTPTN Diploma = RM 15,000

Hutang PTPTN Ijazah    = RM 21,000
Jumlah hutang             = RM 36,000!!!!

Okay, sekarang kita kira dengan kalkulator PTPTN di sini. Jadual pembayaran mengikut amaun pinjaman boleh diperiksa di sini. Hasilnya:





Secara bayaran purata, kadar bayaran adalah RM 215.45.

Seorang graduan yang baru mula bekerja di syarikat biasa akan berpendapatan RM 1,800 hingga RM 2,500 sebulan. Setelah ditolak EPF dan SOCSO, maka RM 2,500 tadi akan menjadi lebih kurang RM 2,200 sahaja. 

Ditolak lagi dengan PTPTN, sudah tinggal ~~ RM 1,900.

Okay, sekarang, kita kira sekiranya anda beli kereta, syarat kelulusan pinjaman bank menghendaki bayaran ansuran supaya tidak lebih dari 30% dari gaji bersih anda.

30% dari RM 1,900 adalah lebih kurang RM 600. Myvi 1.3 manual pun ansuran bulanannya RM 500 sebulan.

apa yang anda ada               :     RM 2,500

EPF + Socso (lebih kurang)    :   - RM 300
PTPTN                                :   - RM 215
Kereta                                :   - RM 500
Baki bulanan bersih              :     RM  1,485

Anda rasa masih banyak? bagaimana dengan sewa rumah, untuk ibu bapa, kos makan minum, petrol dan tol serta yang lebih penting lagi simpanan?

Lagi satu, anda dah kahwin? Simpanan kahwin macam mana? Walaubagaimanapun ini tidak berkaitan dengan anda sekiranya mahu bersendirian seumur hidup.

Jika menetap di Kuala Lumpur, untuk minyak kereta saja dah RM 200 sebulan. Kita kira lagi.

Minyak kereta + tol              :   - RM 300

Makan                                 :   - RM 600  (ini boleh kurang sikit. Takpe, kita ambil purata)
Mak ayah                            :    - RM 200
Sewa rumah (kongsi)            :   - RM 200
Jadi apa yang anda tinggal    :     RM 185 Ini aje yang tinggal, simpanan belum lagi!

Ini pun dikira untuk yang gaji RM 2,500 tadi, yang RM 1,800 tadi macamana? Yang bestnya saya tak masukkan lagi bayaran parking kalau kita pakai kereta. Kat KL ni sejam pun dah RM 3. Alang-alang dah duduk di KL, kalau tempat kerja anda dekat dengan LRT lagi bagus!

Kita yang baru grad ni kadang-kadang tak nampak apa yang lebih utama. Sepatutnya kita lebihkan simpanan sebab lebih banyak benda yang kita perlu buat sebelum beli kereta!

Contohnya, kahwin. Lepas kahwin, kereta dah boleh kongsi, rumah pun dah boleh beli. Beban kewangan ditanggung bersama, lebih jimat dan lebih cepat kaya.

Tapi....kerja saya banyak perlu keluar kawasan, macamana?

Saya faham masalah tu, sejak saya kerja, agak susah jugak nak berulang alik lebih-lebih lagi kalau kita kerja luar kawasan, selalu outstation, kena pergi sana sini tengok site (macam saya), nak pakai motor tu boleh tapi agak bahaya. Lebih-lebih lagi kalau kita perempuan.


Saya cadangkan untuk kes macam ni, belilah kereta kecil yang murah dan minyak pun murah. Bukan kereta kecil yang mahal macam Myvi atau Swift tu! Sebijik Myvi pun dah lebih mahal dari Saga. Padahal Saga tu kereta Sedan, lebih luas, bayar pun baru RM 350 sebulan. Kualiti jangan kira dulu, sebab anda belum mampu bayar untuk kualiti. Kereta kecil, maintenance pun murah, parking senang cari, minyak pun murah.

*Nota kaki, Myvi 1.5 berharga RM 56K manakala Proton Preve berharga RM 60k. Lebih hanya RM 4k, tapi ianya adalah sebuah sedan C segmen. Barang isi banyak sikit, dan sesuai bujang/berkeluarga.

Jadi sekurangnya anda dapat jimat RM 200 lagi dalam sebulan. Apa-apa pun, lebih baik sekiranya anda memotong sekurang-kurangnya 10% dari gaji bulanan untuk simpanan dan simpan dahulu siap-siap sebelum berbelanja. 

Kalau yang belum beli kereta tu, lebih baik sebab sekurangnya 60% dari gaji anda tu boleh disimpan, dan menyebabkan anda boleh kahwin dan membeli rumah dengan lebih cepat.

Ingatlah, buat graduan baru, kereta adalah aset yang menyebabkan wang ada bocor bulan-bulan tanpa sedar. Kalau tak perlu beli, jangan beli lagi.

Sebab, anda akan sedar, 30% dari gaji yang anda peruntukkan untuk ansuran kereta tu, akan meningkat jadi 40%-50% disebabkan kos petrol, tol dan juga parking. Inilah yang kita tak perasan.

Kesimpulannya, kalau anda bijak menyusun kewangan, ianya tak jadi kesilapan. Tapi kalau anda beli sebab kawan anda ada kereta, dan kereta adalah simbol gaya status, gaya, mutu, keunggulan, dan beli kereta yang kecil tapi mahal pula, inilah kesilapan besar!

Bila dah ada semua rumah kereta , apa pulak yang perlu?
Update 3/1/2014:

Kalau nak beli kereta, boleh guna tips saya ni. Kira berapa gaji anda selama setahun. Darab dengan 1 hingga 1.2. Itulah range harga kereta yang sesuai untuk anda beli. Pendek kata, gaji setahun adalah range harga yang anda mampu!

Biarpun sekarang ni tak banyak kereta yang anda mampu beli, fikirkan 10 tahun akan datang. Kereta anda sudah buruk, hutang baru habis bayar. Kalau sekarang pakai kereta murah dulu, 10 tahun lagi nak tukar pun tak apa sebab anda dah tak terikat hutang!


Zaren
Kuala Lumpur
19 Julai 2013
11 Ramadhan 1434


Jumaat, 19 Julai 2013

Engineer, kaya ke?

18 Julai 2013.

Tarikh ni, menandakan sudah sepuluh (10) bulan saya bertugas sebagai jurutera di sebuah syarikat kecil. Syarikat yang kalau orang dengar akan tanya saya balik: 

Oh, company yang buat handphone tu eh?

Company apa, cubalah teka.

Dua bulan lagi cukuplah setahun saya kerja kat situ.

Apa yang best jadi engineer ni? 

Apa yang anda fikirkan bila disebut "engineer"?

Gaji besar? Banyak travel? Awek ramai? Status tinggi?


Pada adik-adik yang baru lepas SPM dan memikirkan untuk ambil jurusan kejuruteraan, digalakkan untuk baca post ni sampai habis.


#saya sebenarnya tak suka guna bahasa rojak di dalam penulisan, tapi memandangkan post ini ada istilah teknikal yang agak janggal kalau diterjemahkan dalam bahasa Melayu, maka.....kita rojaklah! 

Yang pertama, minat.

Pastikan anda meminati bidang yang bakal anda ceburi. Untuk jadi seorang jurutera atau lebih glamour disebut engineer, tanpa minat, kerja anda akan terasa susah, letih, dan membosankan kerana ianya amat berkait rapat dengan pengetahuan teknikal anda. Kalau anda seorang yang kompeten dan ingin belajar, tak ada masalah tapi kalau sebaliknya, tepuk dada tanyalah ilmu cukup ke tak =)

Selalunya orang taknak kerja ni sebab kalau kerja kat field, kita terdedah kepada 4D ni iaitu Dirty, Dangerous, Difficult dan jugak unDerpaid. oh bukan 4D tapi 3D1U.

Baiklah, mula-mula sekali kena tahu cabang-cabang engineer ni. Asasnya ada 4 cabang tradisional - Awam/Civil, Mekanikal, Elektrik, dan jugak Kimia/Chemical. Software engineering, sound engineering, biomedical engineer semua tu adalah lanjutan dari 4 bidang asal ni.

Bidang-bidang ni ada kelebihan/kekurangan sendiri. Minat yang mana, kenalah pandai pilih.

Ringkasnya:

  • Civil: buat bangunan, kaji tanah (geotechnic), kaji air, dan jugak highway serta jalan raya.
  • Mechanical: mesin besar-besar macam gas turbine, automotif, pendek kata jentera-jentera yang menggunakan konsep mekanik.
  • Electrical: Ini cabang yang saya belajar (jadi saya lebih bias sikit kat sini haha). ada dua pecahan besar iaitu elektrical dan electronics. Electrical - main dengan benda high voltage seperti power plant, transmission, distribution, pendek kata apa yang TNB buat tu, adalah di bawah electrical. Electronics untuk barang-barang low voltage macam semiconductor, buat IC (integrated circuit), control system, buat handphone, telecommunication (maxis celcom digi gps semua masuk bawah ni).
  • Chemical: Kejuruteraan kimia asasnya untuk barang-barang manufacturing (polimer, buat cat, barang plastik). Oil and gas juga termasuk bawah kejuruteraan kimia ni. 

Yang kedua, gaji dan skop beban kerja.

Harus diingat gaji engineer ni nampak je macam besar..Tapi sebenarnya lebih miskin dari kuli. Kenapa? baca sampai habis, sebab jawapannya ada di dalam perenggan-perenggan seterusnya.

*Dalam ni kita tak masukkan gaji engineer oil and gas sebab diorang ni special case. Kena banding kerjaya lain yang sama-sama kerja kat darat la baru adil, kan?

**Update. Disebabkan harga minyak dunia jatuh mendadak awal tahun 2015 ni, maka banyak syarikat nak buang pekerja. Jadi...adakah anda masih fikir OnG masih secure?

Ramai orang bila sebut engineer, diorang akan fikir semua engineer ni kaya-kaya. Sebenarnya tak begitu. Itu terpulang kepada bidang apa yang dia masuk. Adakah bidang construction? oil and gas O&G ? manufacturing macam kilang-kilang tu? atau pun service provider?

Kalau ukur dari segi gaji, memang O&G yang paling mahal bayarannya. Tapi kena ingat, nak masuk industri ni bukanlah semudah dijangka. Dan beban kerja di pelantar tu bukan semua orang dapat tahan. Ini lain entri nanti saya cerita.

Construction punya gaji tengok jugak anda di line mana. Projek atau servis? Kalau projek, gajinya lebih besar tapi selalunya engineer yang buat projek ni kerja secara kontrak sehinggalah projek tersebut tamat. Oleh sebab tiada jaminan kontrak akan disambung maka gaji mereka selalunya lebih besar. Selepas tamat tempoh kontrak, kalau tak ada projek baru maka engineer ni carilah kerja di tempat lain. 

Ada juga project engineer yang digaji secara tetap oleh syarikat. Tapi selalunya gaji mereka pun tak banyak sebab sekiranya projek tahun tu lembab, syarikat masih ada duit untuk bayar mereka walaupun projek tak ada. Kalau projek lebat, merekalah antara yang paling banyak bonus tahun tu. Skill yang diperlukan selalunya technical drawing tak kiralah guna Computer Aided Diagram (CAD) software yang mana pun. 

Berbeza dengan service engineer, sekiranya klien masih menggunakan barangan yang syarikat mereka jual, tak kira ada projek baru atau tak ada pun, khidmat mereka masih diperlukan kerana mesin-mesin itu tetap perlu diservis secara berkala. Jadi selalunya kerja service engineer ni lebih terjamin mengikut installed base mesin yang dijual oleh syarikat berkenaan. Cumakerja service engineer kelihatan lebih macam kuli sebab mereka ada hands-on skill dan jugak troubleshooting skill. Nampak macam technician pakai baju kotor, rupanya engineer ada degree.

Jenis engineer yang ketiga ni saya paling tak suka, iaitu sales engineer. Bila saya kata tak suka tak bermakna engineer ni tak bagus. Kerjanya bagus sebab inilah sumber pendapatan bagi syarikat sebenarnya. Saya tak suka sebab saya tak suka buat sales. Itu aje. Engineer ni akan buat sales mengikut pengetahuan teknikal untuk meyakinkan klien sama ada barang mereka ni ikut spec atau tak, dan kalau specnya sama dengan competitor, kenapa barang mereka lebih baik dari yang lain? Ini kerja mereka untuk menggunakan pengetahuan teknikal dalam usaha meyakinkan pelanggan. Gajinya biasa-biasa tapi ada komisen atas jualan. Jual banyak, komisen pun banyak. Satu equipment pun harga ratus-ratus ribu, kalau jual satu pun dah berapa agaknya komisen diorang? Pendek kata, kerjanya macam salesman. Cuma ada kelas sikit sebab "engineer". 

Kalau mahu lebih berjaya, jadilah engineer dengan title IR. Commercial valuenya lebih. Harga yang dibayar untuk kerja anda pun lebih. Risiko pun lebih.

Yang ketiga, risiko

Seperti yang saya dah beritahu awal tadi, kerjanya bahaya, kotor, sukar dan gajinya rendah.

Disebabkan bahaya, maka risikonya ada. Contoh macam elektrik, bendanya kita tak nampak. Tapi kalau terkena? Lebih-lebih lagi high voltage.

Design failure juga termasuk dalam risiko. Kalau salah design, kos projek dah berjuta dikeluarkan, siapa yang nak disalahkan? Engineer jugak. Contoh terbaik, gambar di bawah ni.



Yang keempat, masa

Harus diingat kerja sebagai engineer adalah kerja yang tak ada waktu pejabat. Waktu kerja mungkin 24 jam sehari, atau pun 7 hari seminggu bergantung kepada keperluan.

Oleh sebab itu gaji engineer tak dikira besar sebab mereka kerja around the clock! Kalau orang biasa gaji RM 2,000 tapi kerja 9 pagi-6 petang, engineer yang gaji RM 3,000 kerja 24 jam! Iaitu 8 jam waktu biasa dan selebihnya standby.

Pengiraan mudah untuk waktu kerja 8 jam sehari, 

Orang biasa yang kerja pejabat:

RM 2,000/20 hari (5 hari seminggu X 4 minggu) = RM 100 sehari. 
Jadi kerja 8 jam = RM 12.50 sejam.

Engineer yang kerja 12 jam:

RM 3,000/20 hari = RM 150 sehari. 
Tapi... RM 150/12 jam = RM 12.50. Sama je macam orang kerja pejabat. Jadi di mana besarnya gaji engineer ni?

Nampak besar sebab lebih seribu tapi sebenarnya, kita bayar harga seribu tu dengan masa kita.

Dan ada jugak yang dibayar standby allowance termasuk kerja sabtu ahad, tapi selalunya kan, RM 500 yang dibayar tu tak setimpal dengan masa kita yang terbuang bila standby sebab kena standby 24 jam.

Yang duduk di pelantar, anda kerja 12 jam sehari dan elaun anda dibayar dalam hari. Lagi 12 jam anda boleh rehat. Tapi selalunya diorang akan kerja jugak waktu rehat tu. Sebab apa? Kat atas pelantar tu bukannya ada apa sangat. Kiri laut, kanan pun laut. Depan belakang tak payah cerita. Daripada tengok laut, baik diorang kerja, betul tak? 

Dan kawan saya yang kerja di SLB (Schlumberger) dah berapa bulan tak balik. Baru balik sehari, dah dipanggil semula ke laut. Duit banyak, masa untuk family pun takde. 

Kalau engineer lain pun sama juga.

Kalau machine down tengah malam buta, anda kena bangun dari tidur untuk troubleshoot mesin tu, dan selalunya mesin takkan siap dalam 1-2 jam kalau mesin mahal. Kalau projek anda belum siap, sedangkan deadline dah hampir, maka bersengkang matalah buat kerja sampai siap. Kalau kena outstation 3 bulan, 3 bulanlah anak isteri ditinggalkan. 

Tanyalah pada engineer yang dah ada pengalaman, pasti mereka akan kata, ada jugaklah time yang aku kena kerja tak tidur 3 hari straight. Tapi pengalaman tu menyeronokkan.

Akhir kata, nak jadi engineer ni bukanlah mudah. Dan di Malaysia ni engineer sering dianaktirikan berbanding doktor dan jugak kerjaya lain sebab field engineer selalunya kelihatan macam kuli aje.

Namun, kita harus sedar yang engineer adalah penyumbang kepada kemajuan tamadun, juga menyumbang kepada pembangunan negara. 

Apa pun, berbanggalah (tapi jangan eksyen!) jadi engineer sebab di zaman saya belajar dulu, dari 10 kelas yang ada 30 orang, waktu nak graduate cuma tinggal 6 kelas. itu pun 4 kelas yang grad on time, hampir 2 lagi kena extend. Yang 4 kelas lagi kena tendang dari universiti sebab tak lulus!

Trust me, I am an engineer! 


Pada yang ingin tanya soalan di ruangan komen tu, diharap dapat baca komen komen tersebut. Kebanyakan soalan yang anda (mungkin) nak tanya, telah pun dijawab.
contoh: 

"abang, saya sekarang belajar kursus ___, nanti boleh ke saya sambung kursus ___ degree nanti?"

"abang, saya dah dapat offer kerja, abg rasa okey?" - jawapann yang saya akan bagi, agak standard kalau dalam bidang saya)

"abang, berapa gaji fresh grad, adakah saya punya gaji ni market rate?" - ini soalan yang saya paling kerap jawab. dalam emel pun orang tanya. saya jawab terus kat sini. gaji diploma 1200-1800 standard, tak masuk elaun. gaji degree 2300-3000 standard, tak masuk elaun dan company bukan company minyak.

Last update detected..... more than one year ago!

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Post yang terakhir blog ni adalah pada Februari 26, 2012. 

Dan tarikh hari ini ialah 19 Julai 2013.

Wah! Dah lebih setahun tak berupdate.

Setahun setengah. Lama tu. Kalau kahwin dah boleh dapat anak sorang. 

Macam-macam perkara berlaku dalam tempoh sepanjang ini. Dari entri terakhir saya tu, saya masih berusia 24, dan masih menuntut di tahun akhir pengajian. Dan sekarang, saya sudah bekerjaya. Oh cepatnya masa.

Tak tahulah blog ni masih ada pelawat lagi atau pun tak. Harapnya masih adalah yang sudi dengan entri yang biasa-biasa ni. Cukup untuk rujukan kalian berdasarkan pengalaman yang tak seberapa ni.

Semoga berjumpa lagi, nantikan entri seterusnya!

Zaren

Kuala Lumpur
Julai 2013