Kita semua manusia, dan kita tahu itu.
Manusia itu fitrahnya sama, ada kepala, kaki, tangan dan tubuh badan. Juga ada otak serta mempunyai hati, akal, nafsu dan perasaan. Betapa indah penciptaan manusia ini, kita semua sudah pun tahu,
Namun apakah bezanya antara seorang manusia dengan manusia yang lain?
Rupa?
Kalaulah kita menganggap orang Afrika yang berkulit gelap, menindik muka dan sebagainya itu tidak cantik, mereka dianggap ratu di negara sendiri. Jadi rupa bukanlah sesuatu yang membezakan seseorang. Cantik itu subjektif.
Aku boleh pandang yang hitam itu cantik, atau yang putih juga cantik…
Harta?
Adakah Daud At-Ta’i, sufi Islam zaman dahulu yang cuma membelanjakan 1 sen sehari, atau Bill Gates, yang menjana beratus dollar sesaat adalah lebih baik?
Atau adakah Salahuddin Al Ayyubi yang waktu matinya cuma mempunyai wang 4 dinar sahaja tanpa mempunyai sebuah rumah pun dipandang lebih rendah?
Jelas sekali harta tidak ada kena mengena dalam menentukan darjat manusia.
Sesungguhnya manusia itu semuanya sama, yang membezakan kita semua adalah amal dan taqwa masing-masing.
Justeru, dalam masa sebulan yang kita ada ni, adalah lebih baik untuk kita bermuhasabah diri sendiri kembali, renungkan nikmat yang kita ada ini adakah kita bersyukur dengannya?
Adakah rezeki ini halal?
kalau kita kaya sekalipun adakah kita membazir atau tidak?
Nasi makan sampai habis atau tak? Sesungguhnya butir nasi terakhir yang kita makan dan titisan air terakhir yang kita minum itulah yang menentukan berkat atau tidak rezeki kita ini. Sayangnya masih ramai yang membazir.
Gembiranya seseorang itu bukanlah berapa banyak yang dia mahu memliki, tetapi kerana berapa sikit yang dia perlu.
Adakah nikmat kita kufur? Nikmat Iman dan Islam, adakah kita nikmatinya?
Islam bukan sekadar mengucap, solat, puasa, zakat dan haji malah segala-galanya lebih dari itu.
Renungkan satu contoh yang sering didengari di surau-surau – Pada bulan Ramadhan Imam As-Syafie khatam Al-Quran sebanyak 60 kali. Bermakna beliau khatam 2 kali sehari.
Mustahil?
Kita buat kiraan mudah, bagi orang yang bacaannya lancar seperti biasa, satu juz lebih kurang 35 minit. 30 juzuk = 17 jam 30 minit. Jadi adalah mustahil bagi seorang biasa (yang bukan sufi juga bukan ulama) seperti kita untuk khatam 2 kali sehari.
Imam As-Syafie sudah menghafal Al-Quran seawal usianya 9 tahun, maka 2 kali sehari adalah perkara mudah baginya.
Jika diambil kira waktu kita bekerja, tidur dan sebagainya, kita masih boleh khatam sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan, atau lebih.
Kita ada banyak pilihan, untuk baca satu juz sehari, atau beberapa muka malah beberapa huruf sehari, namun kebanyakan dari kita mengambil pilihan yang terakhir iaitu tak mahu buat.
Rugi, dan sangat rugi.
Bangunlah malam walau sekejap, tunaikan solat dua rakaat, bukannya sukar. banyakkan amalan malam kerana doa amat makbul waktu itu.
Dalam berpesan kepada semua, entri ini ditujukan kepada diri sendiri yang masih muda, dan masih mahu mengumpul lebih banyak pahala berbanding mengumpul dosa supaya jika usia panjang, pahala telah melebihi dosa.
(aku pun takut mati bukan dalam iman!)
Matikan aku dalam iman...
Ameen.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Apa kata anda? Jom kongsi!