*Blog ni masih separuh siap sejak diimport dari wordpress hosting. Maaf atas kesulitan.

Ahad, 26 Februari 2012

Perhentian – Part 2


Okay, bahagian yang kedua sudah siap. Maaflah lambat, tiga hari saya demam. Ni pun masih menggigil lagi bila malam dan pagi. Doakan saya cepat sembuh.

Chalet-chalet di sini agak murah, dalam RM30-50 untuk penginapan ala kadar. Jika mahu mewah, anda boleh memilih untuk bermalam di Shari La atau Senja Bay. Kedua-dua chalet ini menawarkan bekalan elektrik 24 jam, manakala chalet-chalet lain hanya 12 jam.

Hari Pertama

OK, jadi aktiviti petang itu ialah ke kincir angin. Ramai yang dah tahu kan yang Pulau Perhentian ni ada daya tarikan sendiri iaitu kincir angin dan juga panel solar bagi penjanaan tenaga elektrik. Oleh kerana pulau ini terletak di kawasan yang berangin (terutama musim monsun), maka ia adalah satu cara terbaik untuk menjana elektrik.

Kincir angin tu terletak di Pulau Perhentian Kecil.


Mula-mula nak ke sini, kincir angin tu nampak dekat je. Tapi rupanya jalan nak ke sana sangatlah mencabar. Dari Coral Beach (Barat pulau), kita harus menyeberang hutan dulu untuk ke Long Beach(timur pulau). Long Beach ni sangat terkenal pada high season (April-September) kerana pantainya memanjang dan cantik.Tapi masa saya pergi tu low season, jadi tak ada kehidupan di situ kerana ombak kuat, jadi kebanyakan pengunjung memilih untuk menginap di Coral Beach saja.

Dari situ, jalan nak masuk ke denai hutan (jungle trekking) tu amat menakutkan. Kawasan ni seolah-olah tak terjaga. Semak belukar tumbuh meliar, dan memungkinkan orang untuk sesat di kawasan ini.


Mengerikan

Dari cerita penduduk tempatan, ada seorang mat salleh yang naik ke kawasan ni, tak jumpa jalan turun sebab sesat. Tapi semua harus ingat, ini kawasan hutan, jadi janganlah celupar…Lebih baik pergi berkumpulan sebab agak menyeramkan kawasan ni. Tapi saya pergi sorang-sorang sebab saya tak ada peneman.

Perjalanan ke puncak bukit boleh dikata agak cerun juga. Ada tanda yang disediakan supaya kita tak tersesat sewaktu naik, tapi susah nak nampak sebab warnanya dah luntur. 



Jalan agak cerun


Hampir terlepas tengok tanda ni sebab tumpukan jalan


Jalan yang memang sangat cerun


ikut tiang letrik ni confirm tak sesat

Jadi saya ambil keputusan untuk mengikut tiang elektrik ni saja. Lebih mudah sebab dah pastilah tiang ni akan menuju ke kincir angin tu, kan? Mengikut kata seorang yang pernah naik, masa untuk mendaki lebih kurang 30 minit.

Sepanjang perjalanan, beberapa kali terkejut apabila biawak separuh saiz badan saya melintas. Spesies apa agaknya besar macam anjing ni?

Lebih kurang 10 minit, saya akhirnya sampai. Tak sampai pun 30 minit. Inilah dia kincir angin tu. Tak bergerak pun kipas dia. Nak kata tak ada angin, ada. Agaknya apa masalahnya? Selepas ambil beberapa data yang saya perlukan, saya pun bergerak turun.






Nak turun tu pun menakutkan juga. Tapi bila turun tu kita terasa cepat berbanding naik. Tangan tetap kemas menggenggam batu kalau-kalau ada perkara di luar jangkaan berlaku.

Mujurlah saya naik sorang-sorang, turun pun sorang-sorang…..Kalau turun berdua seram juga kan?



Communication tower di Perhentian. Tak ada benda ni, takde line la handphone kita.



Pantai Long Beach



Mat saleh


Hanya saya dan pelayan restoran je yang muka melayu. Yang lain semua lain acuan eropah……



Mat saleh


Mat salleh juga. Kalau namaku mat salleh, boleh la join.


Dinner malam tu. tak kenyang pun. RM 13.


Hari Kedua

Di pulau ni, aktiviti utama yang pelancong takkan tinggalkan ialah snorkeling. Harga untuk snorkeling di sini adalah sekitar RM30-45 termasuk peralatan (goggle, fin, vest), bergantung kepada tempat mana yang anda ambil. Lokasi snorkeling standard adalah 5 tempat termasuk tempat penyu dan jerung. Snorkeling ni biasa bermula jam 10.30 dan tamat pada 3.30 petang. Boleh tahan la jugak lamanya.

Saya tak pergi snorkel. Waktu ni angin masih kuat. Walaupun lokasi snorkeling tu terlindung dari angin, tapi saya tak mahu ambil risiko. Datang sorang-sorang kat pulau ni, kalau jadi apa-apa pada kita, susah…
Malangnya kamera saya masuk air waktu ni, jadi teruskan pembacaan sambil bayangkan keadaannya sebab tak ada gambar untuk diletakkan bersama.

Jadi saya putuskan untuk meredah hutan untuk ke perkampungan nelayan di selatan pulau. Perjalanan dari Coral Beach mengambil masa sejam setengah. Rasa nak cabar untuk pecah rekod tu.
Jalannya ada diturap dengan bata, sepanjang perjalanan terdapat banyak chalet-chalet yang dah ditinggalkan. Terasa ngeri kat sini apabila malam.

Macam biasa, diorang tak jaga kawasan ni. Pokok-pokok banyak dah merimbun dan menutup jalan. Ada juga pokok-pokok tumbang sepanjang perjalanan, tak terlepas biawak yang turut sama menemani perjalanan.

Lebih kurang 40 minit berjalan, akhirnya jalan semakin menakutkan. Hanya ada satu lorong kecil, dan lorong itu dipenuhi pokok-pokok yang membentuk terowong. Rama-rama pun banyak bertebangan. Mula-mula ingatkan kelawar. Memang scary habis. Lama fikir, akhirnya saya putuskan untuk berpatah balik walaupun di sebelah sana tu je kampungnya. Tak berani ambil risiko yang macam ni. Sebab, andai kata saya sampai di sana pun, saya harus berjalan pulang melalui tempat yang sama pula selama 40 minit lagi!

Menjelang malam, kawasan mula sunyi kecuali di pantai. Pelancong pun duduk sambil main gitar dan menyanyi, meriah jugalah, Malam ni saya makan spaghetti. Harganya RM 7.50. Terpaksa ambil sebab lebih murah daripada nasi. Air suam percuma. Hehe.

Cuma yang tak sedapnya, ada beberapa restoran di sini yang menyediakan arak dan bir dalam tin untuk pelancong. Cuma tak pasti adakah betul-betul pelancong yang minum sebab tukang hidangnya ialah orang Melayu.

Oh ya, air masak kat sini rasanya sikit payau, tak macam air yang biasa kita minum.

Hari Ketiga

Masa untuk pulang. Lupa pula nak beritahu. Jika anda ingin pulang esok, sila pastikan hari ini anda ada hubungi operator bot yang nombornya tertera di tiket anda. Atau boleh juga beritahu dan minta pengurusan chalet tolong uruskan untuk anda.
11.30 pagi, berada di jeti supaya tak terlewat untuk naik bot jam 12 tengahari tu.

Bawah ni gambar hari pertama masa sampai. Ok lah tu sama jugak kat atas bot kan.



Sayup ternampak pulau2 kecil.



Pulau perhentian dari jauh





Jeti Pulau Perhentian Kecil

Jam 12.30, bot pun berlepas. Setengah jam kemudian, sampailah di Kuala Besut. Bas untuk ke Kuala Lumpur hanya akan bertolak jam 8.30 malam. Takkan nak bazirkan 7 jam kat sini?

Di sini tak ada apa-apa selain tempat ikan dinaikkan. Kalau berkumpulan mungkin boleh berbual, kalau sorang-sorang, boring jugak. Jadi saya putuskan untuk ke Jerteh dan naik bas di sana. Bas 8.30 malam dari Kuala Besut akan singgah di Jerteh jam 9 malam sebelum bertolak ke Kuala Lumpur.

Untuk ke Jerteh, hanya ada satu pilihan iaitu menaiki teksi (bahasa sini teksi dipanggil kereta sewa sebab teksi bermaksud beca). Tambangnya RM 20 satu kereta untuk ke Jerteh. Kalau ingin ke Kota Bharu, tambangnya RM 30. Cuma untuk ke Kota Bharu ada pilihan lain kerana ada bas Cityliner selang setengah jam. Tambangnya tak pasti pula tapi tak mahal.

Untuk teksi tadi anda boleh minta tawarkan harga. Harga yang diletakkan tu selalunya untuk pelancong asing. Asal ringan mulut bertanya dapatlah murah. Untuk ke Jerteh, tambangnya boleh dikurangkan kepada RM16.

Jadi…..

Seorang pakcik yang saya tanya berkata yang Jerteh terletak 15 km jauhnya dari situ.

Saya rasa tak berbaloi untuk bayar RM16 tu, jadi saya putuskan untuk berjalan kaki 15 km ke Jerteh. Cuma ambil masa 2 jam. Gila ke saya ni? Tak. Sebab saya dah biasa berjalan. Kalau anda berkumpulan 4 orang, silalah ambil teksi, okay?

Tapi…..
Selepas 2 kilometer perjalanan, sebuah trak pikap berhenti lalu menawarkan saya untuk ditumpangkan. Rupanya pakcik tadi, Katanya kebetulan dia nak ke Jerteh sebelum ternampak saya. Dengan ini, maka saya dapat menjimatkan RM 16 atau RM 20 untuk tambang……..

Priceless…Pengalaman ni tak boleh dibeli dengan duit. Boleh dikatakan setiap urusan saya di pulau ni dipermudahkan, melainkan beberapa tragedi yang menyebabkan handphone dan kamera saya masuk air. Selain itu, semuanya berlaku dengan senang.

p/s:

1. Pulau ni sangat seronok untuk dilawati semula pada high season, cuma harus dibuat tempahan awal kerana selalunya musim tu full house. Tapi bukan semua chalet terima tempahan kerana mereka tak mahu tanggung kerugian andai pelawat tak muncul.

2. Dengan bajet lebih kurang RM 300, anda dah boleh ke pulau ni untuk 3 hari 2 malam termasuk bas pergi balik dari dan ke Kuala Lumpur (RM 80), bot (RM 70), chalet (+-RM 60 semalam), snorkeling (RM 30) (tak termasuk makan). Harga chalet berubah untuk low season dan high season.

3. Di Coral Beach, pantainya berbatu manakala di Long Beach, pantainya panjang dan bersih. Namun harga chalet di kedua-dua belah pantai ni sangat berbeza. Kalau nak murah, sila ke Coral Beach kerana Long Beach lebih ditumpukan pada pelancong asing.

3. Kalau anda ingin berkhemah, di pulau kecil tak ada campsite. Campsite hanya ada di Teluk Keke, pulau besar dengan bayaran RM 10 untuk satu malam. Cuma saya tak pasti RM 10 seorang atau RM 10 satu khemah. Buat masa ni untuk keselamatan ambil saja untuk seorang okay?

2 ulasan:

  1. Saya kalau cuti bulan tiga nanti,saya dan kawan kawan nak ke London.Dengar macam best,kan?Dari sana,saya terus bertolak ke Paris.Wow...tak sabar saya.Okeylah,nanti saya kirimkan gambar saya di Paris.Bye.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Hai,saya Mira.Wah,cuti bulan tiga nanti awak nak ke Paris?Bestnya.Bolehlah awak gi Kota Eiffel,makan aiskrim tersedap di dunia.

      Padam

Apa kata anda? Jom kongsi!