*Blog ni masih separuh siap sejak diimport dari wordpress hosting. Maaf atas kesulitan.

Rabu, 29 April 2009

Fikir Sejenak #5 - Fanatiknya rakyat Malaysia

BERPOLITIK

Di sini kita dapat lihat, kebanyakan rakyat Malaysia terlalu taksub berpolitik. Atas niat ‘kelangsungan bangsa’ (kononnya), mereka berjuang bermati-matian menegakkan hak masing-masing. Situasi ini saya cukup tidak gemari.

Sepatutnya kita berpolitik untuk bersatu. Tapi hakikatnya kini kita berpolitik untuk berpecah. Fahaman-fahaman yang kuat dikalangan parti masing-masing telah menyebabkan semangat ‘kepartian’ ini menjadi semakin kuat.

Di Malaysia ini ada tiga golongan:

a) Penyokong kuat kerajaan;

b) Penyokong kuat pembangkang;

c) Tidak berpihak pada siapa-siapa.

Apa yang kita dapat daripada perpecahan ini? Tiada.

Pada saya, pembangkang itu perlu. Ini kerana segala keputusan yang dibuat, seandainya ada kemudaratan, pasti akan ada bangkangan. Baguslah tu. Jika segalanya disokong, habislah, Kita harus ingat, sesetengah orang biarpun tidak bersetuju dengan sesuatu cadangan, namun akibat mahu menjaga hati ketua, mereka akan setuju. Di dalam politik, kita tidak dapat lari daripada pembodek, bukan?

Namun untuk membangkang, ada caranya. Kita diajar menentang dengan berhikmah, bukan dengan hentam kromo. Kerajaan mempunyai sebab mencadang, dan anda juga mempunyai sebab membangkang. Carilah titik persamaan dalam sebab-sebab itu. Boleh, kan?

Cukuplah. Bersatulah! Kita bercakaran, musuh bertepuk tangan.

Cuma satu harapan saya. Kepada tuan rumah di tanah tercinta ini, pudarkan semangat berparti (parti politik, bukan parti hiburan) semua, kita suburkan semangat persaudaraan kita sebagai satu agama. Kecewa andainya anak cucu kita belajar tentang perpecahan kita dalam mata pelajaran Sejarah di sekolah pada masa depan nanti.

Itu ketaksuban ibu bapa mereka. Di bawah ini ketaksuban anak-anak mereka pula.

BERHIBUR

Budaya hedonisma ini sungguh tidak menyenangkan. Berhibur, berparti dan entah apa-apa lagi. Masalah sosial Ini adalah masalah negara. Orang hiburan mesti marah bila membaca tulisan ini. Terima kritikan membina ini dengan hati terbuka. Tapi kita harus ingat:

“Jika kita mahu melihat masa akan datang, lihatlah anak-anak muda kita sekarang”

Tanyalah cita-cita anak-anak kita sekarang, Jika 10 tahun dahulu, cita-cita mereka cukup berbeza.

“Adik nak jadi apa bila besar nanti?”

“Adik nak jadi doktor.” Dengan nada pelat-pelat dia menjawab.

Tapi kini, kanak-kanak berumur 5 tahun pun kenal akan Mawi, kenal Siti. Dan mereka pun mahu jadi seperti 'idola' mereka itu. Yang lebih menghairankan, ibu bapa turut menyokong. Mungkin mereka juga terpedaya dengan kesenangan yang datangnya sementara.

Dalam industri hiburan yang tidak sebesar mana ini, pasaran cukup memainkan peranan. Seperti ekonomi, apabila ‘bekalan’ berlebihan, nilainya akan jatuh. Begitu juga penyanyi. Apabila terlalu ramai, makin ramailah yang tak laku.

Mungkin mereka tidak sedar, apabila nikmat fizikal itu ditarik balik, maka disitulah ianya berakhir. Namun tidak bagi mental. Contoh:

Bila jadi pemain bola, gajinya banyak. Namun apabila patah kaki, atau cacat, apa lagi nilai yang kita ada? Tiada. Melainkan kita mempunyai akal untuk digunakan.

Rambut penyanyi yang perang keemasan tidak bermakna ideanya idea ‘emas’, malah mungkin menunjukkan akalnya sudah ‘berkarat’.

Lihat Stephen Hawking. Biarpun lumpuh seluruh badan dan tidak mampu bercakap, dia masih mampu memberikan idea dalam Sains. Benar, ideanya untuk melakukan big-bang di dalam bumi amat merbahaya kepada kita. Tetapi dia masih mampu menyumbang biarpun cacat. Kerana dia mempunyai otak dan akal.



Jadi kepada anak-anak muda, cukuplah dengan penghibur yang kita ada. Kita tidak perlukan pelapis yang terlalu ramai sebegini.

Apakah tujuan kita hidup ini? Fikirkan kembali….

Final yang menyedihkan

Saya baru lepas menjawab periksa bagi subjek Digital Electronics sebentar tadi. Soalan semester ini tiba-tiba tukar format, saya kecewa sungguh kerana saya tidak tahu apa-apa tentang ini. Lagi satu, disebabkan saya tak tidur semalam, saya mengantuk di dalam peperiksaan. Satu soalan saya cuai. Hilang 20 markah dari 100 markah. Biasalah, selepas nenek saya meninggal, saya tidak cukup masa untuk mengulangkaji. Hati masih sedih. . .

Sekarang ni berada di Makmal Komputer untuk melepaskan tension. Malangnya di sini segala laman web yang berbentuk permainan (games) atau laman sosial seperti Friendster, Myspace disekat.

Tidak mengapa kerana saya tidak ada akaun sosial tersebut. Mujurlah laman blog tidak disekat. Bolehlah kemaskini blog ni.

Di luar sana, kelihatan wajah-wajah manusia yang kekecewaan akibat tidak dapat menjawab soalan dengan sempurna.

Apa dayaku? Tawakal sajalah.

Isnin, 27 April 2009

3 Paper lagiiiii

3 tahun yang dilalui begini
3 tahun yang dilalui begini

Bosan sungguh hari ni. Pagi, mengajar dua jam. Petang, pun mengajar dua jam. Malam, belajar pulak. Tapi setengah jam je, kemudian tidur. Esok baru bangun. Pejam celik pejam celik, tadaaaa! Final cuma tinggal lagi 3 subjek.

Saya letih. Sindrom tak cukup rehat. Benar, saya selalu tidur petang dalam dua tiga hari ni, tapi tak ada kualiti. Tak lena dan tak nyenyak. Bunyi bising, gangguan dan sebagainya, memang membuatkan saya jadi insomnia menjelang malam. Bergelar pelajar, memang jarang untuk mereka ni tidur waktu malam. Waktu sekolah. Saya tidur juga. Tapi dalam kelas. Hehe.

Yang pasti, saya risau. Pensyarah saya sudah meletakkan syarat supaya beroleh 70% dalam peperiksaan akhir untuk lulus. 69 markah dan ke bawah, saya akan gagal. Untuk pelajar lain, dia letak 60% pula? saya anggap sajalah dia sayangkan saya. Sebab itu saya dapat lebih, kan?kan?kan? Saya terima cabaran itu, namun diharapkan saya lulus lah. Dah semester akhir ni, saya tak sanggup mengulang semester hanya kerana satu subjek. Tolonglah... Saya ada migrain dan bermacam lagi..Tak kesian ke?

Lagipun buah hati saya dah lama menunggu di Shah Alam tu! Saya mahu bersama dia!

Jadi doakan saya dalam 3 subjek lagi ya! Jarak cuma sehari dua, membuatkan saya terlalu sibuk. Terima kasih semua!

Selasa, 21 April 2009

Fikir Sejenak #4 - Saya tak faham kenapa...

Malam Ahad - semalam la tu, saya kebosanan. Menonton berita, 60% dari masa yang diperuntukkan adalah tentang politik. Cukuplah mengutuk antara satu sama lain. Benda ini kalau diambil peduli, dikatakan fanatik dan boleh bermusuh. Kalau tidak diambil peduli, negara tergadai dan bumiputera merempat. Tapi apa yang saya nak cerita bukan tentang ini. Ini tentang program jam 9 malam, TV3.

Saya bukanlah peminat program Mentor. Peminat artis jauh sekali. Bidang hiburan ialah bidang yang terakhir sekali akan saya minati. Itupun terpaksa. Semalam saya terpaksa menontonnya kerana terlalu bosan. Saya tegaskan di sini saya bukan peminat Mentor!

Apa yang saya tak faham, mengapakah mereka ini menangis, malah ada yang marah-marah apabila tidak terpilih menjadi anak didik seseorang artis itu? Saya kecewa. Kadang-kadang ada ibu bapa yang ingin menyaman pihak berkenaan kerana anak mereka tidak terpilih dan gagal dalam ujibakat tersebut.

Saya tak faham, dan saya mungkin takkan faham.

Tergedik-gedik semata-mata ingin menarik perhatian hakim atau mentor mereka. Apa ini? Saya meluat dan geli geleman. Tidak pasti sama ada mereka sedar atau tidak perbuatan mereka ini lebih kepada memalukan diri sendiri atau tidak.

Kepada abang Kuman (bukan nama sebenar) dan Midi (dua-dua calon protege Adibah Noor), anda memang sporting. Biarpun tidak terpilih, saya merasakan anda bakal mempunyai rezeki di tempat lain. Mereka ini tidak menangis, tidak merungut dan tidak marah-marah apabila tidak terpilih. Kan bagus begini. Sedar, di balik setiap kesusahan itu ada kesenangan. Surah Al-Insyirah telah mengulang ayat ini sebanyak dua (2) kali.

Namun, seperkara yang menarik untuk diperhatikan ialah kebijaksanaan peserta ini dalam bidang seni. Kalau ye pun nak masuk pertandingan, bersiap sedialah. Berlatih elok-elok. Apa yang saya perhatikan, nyanyi tak sedap, kemudian apabila gagal, minta diberi peluang lagi. Apalah. Kalaulah mereka itu mendengar sendiri suara dan nyanyian mereka di kaca televisyen...Ditambah pula dengan aksi mereka itu.. Malulah....

Satu Malaya boleh tengok. Sudah hilangkah rasa malu di dalam diri masing-masing?

Satu lagi - rancangan ini sepatutnya menapis kata-kata seorang rockers yang hanya inginkan rockers perempuan. Katan-katanya berbunyi begini.

"Rockers adalah orang yang paling jujur. Orang yang paling senang masuk syurga adalah rockers," katanya.

Jahil sangatkah sampai agama pun mahu dipersendakan...Mungkin terlepas cakap, namun saya tak fikir begitu. Dan pihak televisyen sepatutnya menapis babak/adegan itu. Tidak tahu sama ada mereka ingin mencari sensasi murahan atau pun tidak. Namun inikan bidang hiburan. Populariti mengatasi segalanya.

Rancangan Mentor sebagai media hiburan mestilah ingin menarik perhatian penonton dengan perkara sebegini. Rating naik, tapi yang dapat malu bukan mereka. Ya anda yang menjadi peserta, andalah yang saya maksudkan.

Terima kasih kerana membuat saya dan kawan-kawan menggelakkan peserta yang kebanyakannya lebih layak memasuki pertandingan Raja Lawak daripada program Mentor. Anda memang kelakar. Menyanyi dan menari - semua gerakan dan perbuatan itu mengundang hilai dan tawa kami. Malah seluruh Malaysia juga.

Saya dah puas ketawa.

Khamis, 2 April 2009

Ujian..

Isnin 6.45 pagi – Tubuhku berat dan terasa seperti sistem pertahanan ada masalah. Cuba bersuara. Garau, seperti Darth Vader dalam Star Wars. Sahlah, demam. Mungkin akibat sudah tiga minggu tidur tak kena masa. Orang tidur, saya bekerja, orang kerja, saya tidur. Inilah akibatnya kalau melanggar fitrah alam.

Jam menunjukkan 10 pagi. Kelas microprocessor 10 sampai jam 1 ni, nampaknya aku terpaksa ponteng. Tubuhku terlalu lemah untuk bangun. Sambung tidur dulu…..Jam 12 nampaknya kena bangun. Petang masih ada kelas Local Area Network lagi selama 3 jam seterusnya. Lalu aku melangkah longlai bersiap dan terus ke kampus.

Tujuanku hanya satu, untuk mendapatkan ubat dari Pusat Kesihatan (PK). Di UiTM Penang, MC hanya dikeluarkan sebelum jam 1 tengahari. Nasiblah. Hantar surat tunjuk sebab biasa ajelah. Janji rekod perubatan sudah ada kat klinik sebagai bukti sakit. Ubat yang aku terima, boleh tahan. Panadol antibiotik selesema sakit tekak semua ada. Satu je yang dia lupa nak bagi. Ubat batuk. Tak apalah, sistem badan boleh sembuh sendiri, cuma ambil masa je. Lalu aku pun ke kelas yang bosan itu.

Mujur, kelas yang sepatutnya tamat jam 5 petang, jam 4.15 dah tamat. Apatah lagi, jam 5.30 nanti aku perlu mengajar tuisyen matematik. Dengan segera aku bergegas ke shuttle UiTM Penang dan naik bas jam 4.30 petang dengan harapan bas tidak akan menunggu lama. Sempatlah balik makan ‘tengahari’ dulu.

Sebaik sahaja naik, TV di dalam bas menyiarkan ‘Julia Juli’ di TV3. Sudah! Kegilaan masyarakat kita terhadap cerita sebegini tidak akan kurang, termasuk kepada pemandu bas. Akhirnya, 5.30, bas pun jalan.


Dan hari itu aku terpaksa ‘puasa’ tanpa pahala kerana tak niat pun. Dan kelas pun masuk lambat 10 minit. Sabar jelah. Harus diingat apa-apa yang percuma pasti ada kekurangannya. Namun, bagi aku, sejam menunggu itu terlalu lama. Kalau tahu macam ni, baik jalan kaki je, 20 minit. Naik bas, 70 minit!

Sabarlah Zaren…..kau hanya akan faham apabila kau berada di tempat dia….


p/s: Where there’s a will, there’s a way..