“Manis air ni, semanis orang yang buat air ni tadi,” puji tetamu itu sambil tersenyum.
Si gadis yang membancuh air itu tersipu-sipu malu lalu berlari-lari anak ke dapur.
Memekup muka dengan dulang. Seribu persoalan bermain di minda.
Bukan malu kerana dipuji, tetapi malu kerana disindir dirinya tidak pandai membancuh air yang terlalu manis…
Benar, cara menegur tetamu itu berbeza sekali.
Namun ianya tidak sedikit pun mengecilkan hatinya, malah jika orang sekeliling mendengar mereka pasti akan menganggapnya satu pujian. Hati kecilnya berkata tidak mengapa, kerana hanya dia seorang saja faham maksud ‘pujian’ itu.
Namun ada juga manusia bila disindir dengan cara dipuji seperti di atas, dia terus menerus perasan bangga merasakan air yang dibancuhnya benar-benar sedap, sehinggalah dia sendiri minum air itu tadi, lalu mukanya akan berubah serta-merta kemerah-merahan. Oh……….
Menegur kesilapan, adalah sesuatu yang paling sukar dilakukan di dalam dunia jika si penegur tidak pandai bermain psikologi.
Bagaimana mahu menegur tanpa membuat yang ditegur itu marah?
Bagaimana mahu menegur secara halus?
Bagaimana mahu memberitahunya dia tersalah sesuatu tanpa perlu membuka mulut?
Zaman berubah, manusia makin sukar mengalah. Lumrah manusia, hakikat susah diterima.
Inilah yang mencabar. Jika dikira-kira, dalam kehidupan seharian pasti ada sekali kita mahu menegur kesilapan seseorang. Tidak kira rakan sekerja atau teman rapat, caranya pasti berbeza supaya perasaan hormat sesama sendiri tidak hilang.
Jika sudah terlalu mesra seperti keluarga, bagaimana mahu ditegur supaya orang bawahan lebih serius dalam pekerjaan? Adakah dengan cara yang tegas seperti mengajar anak mengaji? Lengkap dengan rotan, berpeluk tubuh sambil memerhatinya membuat kerja dengan muka serius. Adakah begitu?
Jika rakan serumah membuat kotor, bagaimana mahu menegur supaya dia sedar rumah adalah sesuatu yang dikongsi, tanpa menyakiti hatinya?Adakah seperti menegur anak kecil yang membuat rumah bersepah? Kerana dia mungkin menjadi orang pertama yang akan membantu kita sekiranya kita dalam kesusahan nanti.
Hal ini adalah sesuatu yang tidak akan berhenti selagi kita belum mati. Hanya mereka yang benar-benar bijak sahaja yang mampu bertahan tanpa sedikit pun orang benci kepadanya.
Situasi 1
“Mana Muna ni? Dah lewat macam ni tak sampai lagi? Ini bukan kali pertama!” marah seorang ketua.
Muna yang terdengar jeritan bosnya terus berlari ke arah bosnya sambil meminta maaf. Lalu bosnya yang sudah sedia panas itu terus memarahi Muna di depan stafnya yang lain.
“Awak ni dah la datang lambat, kerja awak tak siap, banyak salah kat semua tempat, lambat hantar, buat semula! Selagi tak siap jangan balik!” leter marah bosnya lagi.
Dimarah di depan staf lain, Muna berasa malu. Jadi apakah tindakannya? Kalau anda jadi dia, apakah tindakan anda?
Lalu kerja yang sudah sedia salah itu, Muna buat sambil lewa saja. Dia tahu, kalau kerjanya tak siap, kerja bosnya pun takkan siap, biarlah bosnya juga dimarah oleh bos kepada bosnya. Biar sama-sama merasa.
Di sini psikologi amat penting rasanya. Bukan mudah mempengaruhi seseorang bila diketahui bukan semua bersetuju dengan cara anda.
TEKNIK LEMBU
Umpama memberi lembu makan kenyang-kenyang sebelum menyembelih dan melapahnya perlahan-lahan. Lembu yang kenyang hanya mampu berbaring sendawa kekenyangan, tidak mampu melawan.
Situasi 1 (diperbaiki)
“Cantik awak hari ni, saya hampir tertukar awak dengan Siti Nurhaliza,” puji seorang ketua kepada stafnya Muna yang baru tiba (lambat) ke pejabat sambil tersenyum.
Stafnya yang memang meminati dan memuja Siti Nurhaliza itu tersenyum-senyum bangga apabila dipuji bosnya. Di depan rakan-rakannya pula tu, mana tak bangga?!
Tidak lama kemudian dia dipanggil ke bilik bosnya.
“Kerja awak ni, layout menarik, kemas, saya suka, saya rasa bos besar pun akan suka,” puji bosnya lagi. Si staf bertambah seronok dan ‘kenyang’ dengan pujian.
“Sangat bagus, pelanggan kita pun akan suka, tapi ada satu lagi yang………” Si bos sudah mula menghunus ‘pisau’. Lalu dia menegur si staf tentang apa yang tidak disukainya tentang stafnya itu. bukannya satu, tapi lebih sebenarnya. Teguran tidak dilakukan di depan orang ramai tetapi pujian diberi di depan semua orang.
Muna yang sudah dipuji banyak tadi akan berfikir tidak mengapa ditegur kerana dia sudah dipuji tadi. Apalah sangat satu teguran berbanding puji-pujian yang menggunung tadi? (puji depan kawan pula tu!)
Kalau dia itu kurang cantik sekalipun, pujilah dia itu cantik untuk mengambil hatinya. Manusia suka dipuji……….
Kerana manusia umumnya sukakan pujian dan menjadi tumpuan ramai, ia mampu menjadi senjata yang paling ampuh untuk diguna semula ke atasnya tanpa menyakiti hatinya.
Orang seni berkarya untuk dikenali namanya
Perdana Menteri ingin dikenang jasanya
Guru ingin dikenang ilmunya
Blogger ingin dikenali supaya duit iklan masuk banyak (aku gurau saja..blog aku tak ada iklan pun)
Pendek kata, populariti adalah dambaan hampir setiap manusia.
Pujilah dahulu sebelum menegur. Tipu sikit tak mengapa.
BAHASA MENARIK HATI TERTARIK
Saya tidak suka awak begitu………
Saya tidak suka hasil kerja awak ni……….
Saya tidak suka perangai awak yang suka perasan bagus…..
Saya tidak suka awak yang suka mengejar nama dan pangkat……..
Saya tidak suka awak kuat membebel…….
Saya tak suka awak suka ambil tahu hal orang lain…….
Saya tak suka awak sorang je yang betul, orang lain salah…..
Saya tak suka awak fikir diri awak je tanpa fikir orang lain……..
-
-
Begitu banyak ‘tidak suka’.. Mungkin lebih sesuai jika ditukar kepada…
a) Saya tidak suka awak begitu………
Saya selesa dengan awak yang begini……
b) Saya tidak suka hasil kerja awak ni……….
Hasil kerja awak bagus, apa kata kalau kita cuba bagi lagi bagus dengan…..
c) Saya tidak suka perangai awak yang suka perasan bagus…..
Awak bagus, jadikan orang lain juga sebagus awak…. (dan dia dengan sendirinya akan mendapati dirinya bukanlah bagus sangat apabila orang yang cuba diajarnya itu lebih bagus daripadanya)
d) Saya tidak suka awak yang suka mengejar nama dan pangkat tapi kerja tak ikhlas……..
Berikan contoh padanya. Contoh tokoh yang ikhlas bekerja dan akhirnya nama dan pangkat itu datang sendiri
Untuk situasi lain, terpulang lah untuk difikirkan jawapan yang sesuai..
BUAT MUKA
Bahagian yang paling sukar ialah mimik muka. Sentiasa senyum apabila menegur akan menyebabkan orang berasakan kita tidak serius apabila menegurnya. Dia mungkin akan ambil ringan teguran itu dan kesilapan serupa akan diulang lagi.
Sentiasa bermuka serius semasa menegur pula akan menyebabkan orang takut tapi benci pada kita kemudiannya. Takut dan hormat ialah dua perkara berbeza.
Setiap manusia itu unik, biarpun mereka sedarah sedaging. Perspektif mereka berbeza terhadap ekspresi muka kita. Kebolehan membaca karakter seseorang adalah sangat penting.
Mudah tersenyum tidak bermakna peramah – senyum ada makna tuuu
Masam mencuka tidak bermakna pemarah – mungkin dia sakit perut?
Serius tidak bermakna garang – serius bekerja, tak garang, kan?
Ketawa tidak bermakna gembira – kena geletek pun boleh ketawa
Menangis tidak bermakna sedih – menangis kegembiraan sebab gembira
p/s: Cubalah juga senyum walaupun muka jenis muka ‘ketat’ (muka serius). Oh ya, jangan gunakan teknik lembu itu padaku kerana ianya tidak berkesan. Gunakan pada orang yang sukakan pujian. Kalau mahu tegur aku, jujur dan berterus-terang saja padaku.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Apa kata anda? Jom kongsi!