*Blog ni masih separuh siap sejak diimport dari wordpress hosting. Maaf atas kesulitan.

Ahad, 31 Mei 2009

Sedikit entri peribadi, boleh?

Berapa lama sebenarnya yang harus ditunggu bagi aku merealisasikan apa yang telah berada dalam rancangan bagi sekian lama? Berapa lama juga untuk aku memintas orang lain bagi siri-siri kejayaan yang membanggakan ibu bapaku?

Aku sakit kepala fikir. Aku bukan seorang pesimis. Juga bukan pengemis.

Dan aku tahu aku juga mampu tapi beberapa kekangan yang melanda diri ini menyebabkan aku terpaksa bermonolog sendiri untuk beberapa hari.

Cuma, keluarga aku ini adalah sesuatu yang penting bagi diri aku. Keluarga adalah segala-galanya bagiku. Aku rela tidak bekerja untuk di samping keluarga. Cuma aku memikirkan apa yang boleh aku buat untuk mendapat kedua-duanya dalam masa yang sama. Kini apa yang aku boleh buat ialah, mencuba. Dalam diri ini keinginan untuk aku berjaya adalah kuat. Dan aku lebih suka berusaha sendiri daripada memohon bantuan orang lain (sikit-sikit ok le).

Cuma rasanya takde masalah bila aku mula bekerja tetap. InsyaAllah.

Terima kasih, Along...

Sewaktu pulang dari majlis konvokesyen kakakku, aku menerima satu SMS dari salah seorang anak muridku. Murid tahun 6. SMS itu berbunyi begini:

"Abang sihat kah? Abang matematik along dapat 89 B.M pemahaman 83 penulisan 80. Terima kasih ajar along hingga faham."

Sama-sama along. Terharu bila membacanya. Dia cukup bijak, bagilah apa-apa soalan pun, dia mampu congak saja. Tapi aku selalu marah. Sebab kadang-kadang dengan congak, dia mesti cuai dan akan menjawab dengan salah.

Yang pasti, andai dia berjaya dapat 5A UPSR nanti, pasti adiknya akan mengikut jejak langkahnya cemerlang itu. Adiknya pun pandai, pikap cepat dalam matematik. Dalam BM, dia blur sikit. Tapi okay la tu, dia baru darjah 5.

Apa-apa pun, abang doakan along & adik berjaya dapat keputusan cemerlang nanti.

Jumaat, 29 Mei 2009

Pesanan buat adik-adikku...

Untuk adik-adikku yang bakal melangkah ke universiti, entri ini didedikasikan kepada anda semua.

Anda baru melangkah ke alam universiti. Banyak yang anda perlu pelajari. Bukan sahaja belajar tentang akademik, tetapi juga tentang kehidupan. Anda mungkin pelajar cemerlang, dengan 10A, malah 22A didalam tangan, tetapi mampukah anda hidup dalam keadaan memaksa?

Ini tipsnya.

1. Jadi diri sendiri

Di Universiti, pointer adalah perkara terpenting. Dengannya, kita boleh memohon biasiswa dan mendapatkan pekerjaan yang baik. Tetapi itu bukan perkara terpenting. Yang paling penting adalah SIKAP. Mungkin ada kawan-kawan mahupun pensyarah yang anda tak suka. Abaikan semua itu, jadi diri sendiri dan jadi orang yang punya pendirian. Belajarlah menyuarakan pendapat dengan cara yang berhemah, bukan hati semua orang dapat kita puaskan.

Yang terbaik : JADI DIRI SENDIRI

2. Kawan anda punya kereta? Biarkan!

Di Universiti baik awam mahupun swasta, hal ini memang tidak dapat dielakkan. Bukan semua orang miskin di dunia ini. Ada juga yang terlebih kaya. Namun kita harus ingat, mereka ini andai kehilangan kereta itu, mereka akan mengalami kesukaran untuk hidup, kerana TIDAK PERNAH BELAJAR SUSAH. Belajarlah naik bas. Ada universiti yang sediakan perkhidmatan bas secara percuma. Kalau kena bayar pun, perbelanjaan tambang tidak semahal harga petrol ini.

3. Pilih kawan yang baik-baik

Di peringkat awal, pasti kita akan terfikir, "siapa la nak jadi kawan aku ni..." jangan risau...

Kawan akan datang sendiri.. Percayalah.. Yang penting, jadi diri sendiri. Hal ini kebanyakan orang pernah mengalami perasaan ini termasuklah abang sendiri..Namun, bagi sesetengah orang, tiada kawan pun masih boleh hidup. Itu terpulang pada diri masing-masing..

Yang penting, jangan terpengaruh dengan ajakan kawan-kawan. Anda fikir anda dah dewasa kan, jadi fikirlah sendiri. Kalau termakan juga, itu menunjukkan anda masih belum..........

4. Siapkan assignment!

Assignment, atau bahasa sekolahnya homework, adalah sesuatu yang penting dan menyumbang kepada markah anda. Percayalah, bukan semua jawapan betul yang lecturer mahukan, sebaliknya kesungguhan kita dalam menurut arahannya. Kalau anda buat begini, lama-lama pasti akan jadi pandai.

5. Jangan ponteng

Ini yang terpenting. Selalunya pensyarah akan mencari point untuk menggagalkan pelajar andai kedatangan anda mengecewakan. Kalau sakit, itu hal lain. Tujukan surat tunjuk sebab padanya. Kalau ada surat doktor, itu lebih baik. Mungkin ada pensyarah yang tidak akan terima surat itu, tapi itu belakang kira. Yang penting, tanggungjawab kita, kita tunaikan agar kelak tidak akan dipersoalkan di akhirat nanti.

Tunaikan tanggungjawab anda sebagai anak.

"Abah takde harta nak beri pada anak-anak abah. Abah cuma boleh bagi ilmu, dan cari harta dengan ilmu tu."

Ini pesanan ayah abang, dan ayah kita semua..

Khamis, 28 Mei 2009

Fikir Sejenak #8 - Jangan kena tipu!

Misi hari ini adalah untuk membuka akaun bank untuk adikku yang bakal menjejakkan kaki ke menara gading hujung bulan ini. Kemudian, menghadiri Majlis Konvokesyen kakakku yang tamat pengajian dari Universiti Teknologi MARA.

Bercakap soal akaun bank, terdapat sebilangan keparat-keparat di luar sana dengan imej korporat yang mengambil kesempatan untuk menipu melalui e-banking. Sebilangan mereka ini menggunakan teknologi untuk 'merompak' wang kita semua secara senyap.

Teringat kata pensyarah saya tempoh hari. Katanya, sudah lama beliau tak ke bank dan pejabat pos untuk membayar bil dan sebagainya. Mudah, pantas dan menjimatkan masa. Inilah hidup di alaf 21. Segalanya di hujung jari.

Tetapi, apa yang tidak kita ketahui, urusan kewangan secara elektronik ini juga bakal mengundang padah jika tidak diperhatikan dengan teliti. Soalannya, berapa ramaikah antara kita yang memeriksa kembali baki akaun bank setelah membuat pembayaran secara atas talian (online)?

Kadang-kadang kita malas nak ambil tahu, bukan?

Bukan itu saja, malah pembayaran cukai juga kini melalui potongan gaji. Bagaimana kalau potongan itu terlebih, adakah ia akan dipulangkan kepada kita? Mungkin ya, namun prosesnya mengambil masa berbulan-bulan. Potong, serta-merta. Bayar balik, berkurun menunggu.

Sesetengah hal di dalam dunia ini adalah lebih baik dengan menggunakan 'cara lama'. Biarlah kita beratur, asalkan duit kita selamat. Kerana jika sudah ditakdirkan kita terbayar lebih, percayalah, kita tidak akan punya masa untuk menyelesaikan masalah ini. Kad kredit juga begitu.

Ada sesetengah orang lebih suka menggunakan cap jari bagi proses mengeluarkan wang. Mungkin cara ini dianggap kuno. Tapi inilah cara yang paling selamat. Tandatangan boleh dipalsukan, tetapi cap jari adalah unik bagi setiap orang.

Jadi, apa pun keputusan anda, fikirlah dengan teliti.

Rabu, 20 Mei 2009

Saya betul-betul buntu kali ini. Di dalam kelas, saya tidak dapat menangkap apa-apa pun yang patut difahami. Serius, saya mempunyai banyak masalah. Terutamanya dalam memahami semula apa yang telah dipelajari dahulu.

Sejujurnya untuk subjek Local Area Network dahulu, saya sendiri tidak memahami 100% apa yang perlu dipelajari. Lagipun syllabus itu terlalu panjang, sehinggakan kami tidak sempat belajar configuration menggunakan simulation. Saya lebih menumpukan kepada soalan yang perlu dijawab. Namun itu cerita lain. Subjek itu mempunyai jangka masa satu semester atau 4 bulan untuk dipelajari.

Tapi kali ini saya betul-betul sesak. Dalam dua minggu, segalanya perlu dihabiskan, termasuklah simulation configuration yang tak sempat dulu. Memang masalah bagi saya. Walaupun anda seorang genius sekalipun, kalau bukan bidang anda, pasti anda akan tergagau juga sekejap.

Doakan saya untuk menghadapi peperiksaan - antara yang paling gila pernah saya duduki. Pen pun tak dibenarkan dibawa ke dalam bilik peperiksaan. Apatah lagi kalkulator.

Yang paling best, pengiraan binary, decimal dan hexadecimal perlu dikira menggunakan otak sahaja. Betul-betul kalkulator manusia.

Siapalah yang mencipta semua benda-benda ni. Saya tak faham apa pun.

p/s: Pada peperiksaan itu, tiada sorang pun yang lulus.

Sabtu, 16 Mei 2009

Selamat Hari Guru!

Entri kali ini didedikasikan secara istimewa buat guru-guru pembaca blog ni dan guru-guru saya khasnya.. Tanpa guru-guru, saya tidak akan menjadi seperti hari ini.

Biar pun kebanyakan guru di Sekolah Menengah pernah 'bergaduh' (baca: berdebat) dengan saya, anda tetap guru saya. Itu adalah proses pembelajaran di mana setiap manusia pasti akan menyuarakan pendapatnya.

Di Tadika, saya tidak mengingati sesiapa kecuali Teacher Lee.. Sebab apa saya ingat, sebab beliau paling garang hehe..

Hari ni saya nak tulis semua nama cikgu yang pernah mengajar saya. Tu pun yang saya ingat. Yang saya terlupa, mintak maaf banyak-banyak!

Guru kelas semasa saya di Sekolah Kebangsaan Taman Setiawangsa (dulu SKTS, kini SKS) pada 1995-2000 dahulu:

Darjah 1

Cikgu Zakiah Omar (guru yang bertanggungjawab bawa saya mengenali alam persekolahan)

Darjah 2

Cikgu Suruanbi Sulaiman (saya pernah makan pelempang dia time tu)

Darjah 3

Cikgu Khatijah Zaini - Bahasa Melayu (guru paling sporting sebab masa tu dia tak kahwin lagi)

Darjah 4

Cikgu Nasaruddin Salam (yang paling suka masuk gameshow kat TV)

Darjah 5

Cikgu Nahariza - Sains (suka sangat tarik sideburn saya dulu)

Darjah 6

Cikgu Zahidah Shawari (dorong saya sampai saya terer matematik)

Cikgu Aziah - English (beliau lah punca saya mampu berkomunikasi dengan english sehingga kini)

Cikgu Zation Dahari - Bahasa Melayu

Cikgu Kamarul – Sains

Yang paling terkesan di jiwa saya ialah semasa saya Darjah 6. Semua cikgu bertungkus-lumus untuk pastikan murid-murid berjaya dalam UPSR tak kira siang atau malam.

Sekolah saya dulu
Sekolah saya dulu

Waktu di Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa (SMKTS) pada 2001-2005:

Tingkatan 1

Puan Rasinah Zakaria - Sains

Encik Eh Bong (kini Iskandar Firdaus) - Tolong potong kunci basikal saya masa kunci tu jammed!

Puan Rabiahtonadawiah - Bahasa Melayu

Puan Salina Mahat - English (saya tak pernah dapat B, C, D dan E dengan dia)

Ustaz Sayuti (pindah), kemudian Ustaz Hadi ambil alih – Agama Islam

Puan Nurul Asyikin – Sejarah

Encik Malek – Kemahiran Hidup

Tingkatan 2

Cik Ramlah Saiin – Matematik (penuh dengan kerohanian, bagus!)

Puan Nur Haslina - English (orang panggil dia Teacher Comel)

Puan Mordiah - Bahasa Melayu

Ustazah Maryati – Agama Islam

Cik Noor Hadzany – Kemahiran Hidup

Subjek lain – kebanyakannya cikgu yang sama dari Tingkatan 1

Tingkatan 3

Puan Sharida Hanim – English (Best dia mengajar)

Puan Wu Siew Li – Geografi (kerana dia, ramai berminat dengan geografi)

Ustazah Misrita Samais – Agama Islam

Puan Harpajan – Sejarah

Tingkatan 4

Ustazah Bazliah – Agama Islam (bagaikan kakak kepada kami semua)

Puan Kamishah – Sejarah (saya suka berdebat dengan dia)

Puan Azizah – Matematik (Tegas tapi best)

Puan Rofiah – Biologi

Puan Sharifa Eda – English (Ni pun best jugak, banyak bantu saya)

Tingkatan 5

Puan Normah Mispar – Kimia (Suka saya menyakat pasal St Gabrielle dengan dia)

Puan Siti Ireana Shaik Ibrahim – Fizik (Selama dua tahun, saya tetap suka fizik dengan dia)

Puan Roslina – Bahasa Melayu (suka betul menyakat kami)

Tak lupa juga kepada guru agama saya yang mengajar saya mengaji sejak darjah satu dahulu. Saya panggil beliau Ummi. Dan saya baru saja pulang dari melawat beliau. Kerana beliau, saya lebih advance sedikit tang mengaji daripada murid lain waktu sekolah dulu.

Pada yang lain, jangan berkecil hati.. Wajah anda tetap dalam ingatan saya..

Gambar lain takde, ganti la gambar ni - credit to Zul
Gambar lain takde, ganti la gambar ni - credit to Zul (teka mana saya?)

Secara seriusnya, saya enjoy berada di Tingkatan 5, belajar pun tak serius, tapi tetap jadi orang berguna jugak, terima kasih Cikgu!

Saya mencari-cari gambar kelas saya, tapi tak jumpa. Di gambar itu saya tulis nama setiap orang supaya tak lupa. Tapi gambar tu pun entah di mana.

Apa-apa pun, kini saya pun seorang bekas guru, Selamat Hari Guru semua! Terima kasih atas segalanya..

Ahad, 10 Mei 2009

Fikir Sejenak #7 - Jutawan di dunia, fakir di akhirat..

Tajuk kali ni terfikir untuk dikongsi berdasarkan pengalaman saya dan hasil pembacaan saya termasuklah dari blog bapa kawan saya tu. Begini halnya...

Soalan #1

Berapa lamakah yang anda peruntukkan untuk beribadah dalam sehari?

Soalan #2

Berapa ramaikah antara kita yang menghantar anak-anak untuk menuntut ilmu akhirat?

Soalan #3

Berapa banyakkah soalan seperti ini yang akan ditanya sebelum kita benar-benar sedar?

Jadi cukuplah 3 soalan...


Jadi, soalan-soalan di atas cumalah sedikit dari apa yang harus kita jawab. Soalan pertama itu terlalu umum. Saya ingin lebih menjuruskan kepada soalan yang kedua.

Anak adalah permata yang paling bernilai buat kita. Ada yang beranak ramai, dan ada pula yang kurang rezekinya bab anak ni. Apa yang kita selalu lihat, orang susah di kampung-kampung selalu mempunyai anak yang ramai. Malah mencecah berbelas-belas orang. Di bandar tempat orang senang pula, anak mereka secara purata paling ramai cuma 4-5 orang sahaja. Dan ramai pula yang mempunyai anak tunggal.

Ada hikmahnya kejadian itu. Soal mereka merancang anak atau tidak, itu soal lain. Soalnya sekarang, Allah itu Maha Adil. Kurang rezeki wang, diberiNya rezeki anak dan sebaliknya. Rezeki itu melimpah di mana-mana dan cukup untuk semua orang. Terpulang pada kita untuk mencarinya atau tidak.

Anak-anak ini, harus dijaga dan diberikan pendidikan duniawi dan ukhrawi juga. Buat bekalan, kata orang. Namun sebenarnya, itu juga untuk bekalan kita di akhirat sana nanti. Mengapa?

“Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”(Riwayat Bukhari)

Inilah yang saya maksudkan dengan bekalan kita.

Tidak guna jika kita berjaya di dunia, harta berjuta-juta berbilion-bilion, tetapi tiada siapa yang akan mendoakan kita selepas kita mati. Maka jadilah kita fakir miskin di akhirat sana. Sedih apabila mengenangkan ramai rakan-rakan saya di luar sana yang hanyut dalam keseronokan dunia. Tergolong dalam golongan hedonistik.

Ibu bapa disegani, tapi anak? Ramai juga yang saya kenali semasa sekolah rendah berbelas tahun dahulu, kini sudah hilang jati diri. Tak mengapa jika ingin berseronok, tapi ingatlah ibu bapa kita.

Seperti kata kawan saya Fariz,

"Berdirinya mung di sini membawa maruah mok pok mung."

Beliau orang Terengganu, setahun setengah kami tinggal serumah kerana kami tidak mendapat kemudahan kolej.

Setiap orang yang mempunyai ibu bapa, pasti akan terfikir akan perkara ini sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Melainkan ibu bapa mereka sendiri tidak kisah apa hendak jadi dengan anak mereka. Bagi sesetengah ibu bapa, cukuplah keperluan material mereka sahaja dipenuhi, sedangkan keperluan spiritual dan emosi mereka 'kebuluran'.

Semoga kita semua menjadi anak dan ibu bapa yang sedar akan kepentingan berkeluarga dan bekalan agama kepada anak-anak.

Kepada ibu-ibu di luar sana, saya mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada anda. Jasamu dikenang.

Jumaat, 8 Mei 2009

Selamat Tinggal Penang!

Akhirnya, hari ini selesai semua apa yang sudah dipelajari selama tiga tahun di UiTMPP ni. Segalanya selesai dan berjalan lancar. Harap-harap tiada yang tersangkut sudah la.

Esok, nak mintak maaf dan mintak halal dengan semua lecturer saya selama tiga tahun mengajar saya ni. Murid-murid saya dah mintak halal dengan saya dulu lagi.

Lusa, hari untuk kembali ke Kuala Lumpur!

Yay!

Selasa, 5 Mei 2009

Fikir Sejenak #6 - Mencari sesuap..bukan, secubit makanan..

uganda poor people

Gambar ini adalah gambar perbandingan tangan orang dewasa normal dengan yang tidak cukup zat di Uganda. Benar, tangan mereka kelihatan sungguh kecil sekali. Mereka ini masih HIDUP. Menagih simpati kita untuk terus menagih sesuap makanan.

Saya terfikir untuk menulis tentang ini apabila melihat segelintir dari kita yang masih bermewah-mewah, malah sehingga membazir makanan. Teringat dalam siri Hell's Kitchen, di mana makanan dan masakan yang dihasilkan harus benar-benar menepati citarasa ketua chef mereka, Gordon Ramsay. Jika tidak, makanan harus DIBUAT SEMULA.


Hell's Kitchen
Hell's Kitchen



Ya, itulah budaya di barat. Mereka sanggup membayar dengan harga yang mahal asalkan cita rasa mereka dituruti. Bagaimana pula dengan gambar di bawah?


Kasihan..
Kasihan..

Kelihatannya seperti sangat lapar. Mereka ini, andainya diberikan makanan yang dibuang dalam Hell's Kitchen tadi pun, mereka tetap akan makan dengan berselera. Mereka kelaparan!

Di negara ini juga tidak dapat lari. Hal ini banyak terjadi di majlis yang melibatkan orang kaya yang beruang berwang. Saya juga sering ke majlis-majlis ini. Tapi saya sedih apabila melihat makanan dibuang. Cukup membazir. Pada saya biarlah kita berbelanja banyak untuk makanan, asalkan makanan itu habis dimakan tanpa membazir.

p/s: Kita makan untuk hidup, bukan hidup untuk makan.

Ahad, 3 Mei 2009

Jangan lupa tidur!

Hari ini, sekali lagi saya mengalami masalah untuk menjawab periksa. Sebelum ini tidak pernah berlaku begini.

Segala yang saya sudah fahamkan, tiba-tiba gagal muncul kembali dalam kotak pemikiran saya. Saya buntu. Lalu soalan-soalan itu dijawab dengan menggunakan logik akal saja. Jadilah, daripada tinggal kosong. Ada markah untuk formula, barangkali.

Apa sebabnya saya jadi begini?

Saya tidak tidur hampir dua hari. Jadi fikiran saya seperti di'reset'kan semula. Segala yang masuk keluar semula seperti air mengalir. Selalu saya berpesan kepada kawan-kawan saya, tidurlah. Kita akan lebih segar lagi esok. Tapi saya pula yang tak ikut nasihat sendiri.


Am I forgetting something?
Am I forgetting something?

Untuk subjek ini, jarak yang ada tidak lama. Ini menyebabkan saya MESTI menyelesaikannya dalam masa singkat ini. Jumaat lalu, saya mahu berjumpa pensyarah. Tapi saya tersilap perhitungan. Jumaat adalah hari pekerja dan mereka cuti. Pensyarah saya masih memberi peluang untuk bertemu dengannya, iaitu dengan datang saja ke rumahnya di Sungai Petani.

Meminjam kereta rakan saya, dari Permatang Pauh hendak pergi ke Sungai Petani adalah sejauh 50km lebih kurang. Berulang-alik la Encik Mail dari sana ke UiTMPP setiap hari. Letih tu...

Pertengahan jalan, saya menerima SMS, anak-anaknya pulang, dan saya boleh berjumpa dengannya sekejap jika sudah sampai di sana. Memahami pentingnya keluarga, saya membatalkan hasrat saya itu, dan pusing balik ke Permatang Pauh. Sekurang-kurangnya tenang juga fikiran dengan memandu.

Malamnya, saya menghafal, membaca dan segala-galanya seperti tidak ada hari esok. Semuanya berjalan lancar.

Esok paginya, sewaktu peperiksaan, dengan lancar juga saya menjawab. Cuma tersangkut di beberapa soalan yang jawapannya tidak mahu keluar dari pemikiran saya.

Akibatnya, maksimum markah saya yang telah saya semak sendiri, cuma lebih kurang 70% di mana selama ini saya sering menyasarkan 90% minimum.

Semuanya gara-gara tidak cukup rehat!