Tajuk kali ni terfikir untuk dikongsi berdasarkan pengalaman saya dan hasil pembacaan saya termasuklah dari blog bapa kawan saya tu. Begini halnya...
Soalan #1
Berapa lamakah yang anda peruntukkan untuk beribadah dalam sehari?
Soalan #2
Berapa ramaikah antara kita yang menghantar anak-anak untuk menuntut ilmu akhirat?
Soalan #3
Berapa banyakkah soalan seperti ini yang akan ditanya sebelum kita benar-benar sedar?
Jadi cukuplah 3 soalan...
Jadi, soalan-soalan di atas cumalah sedikit dari apa yang harus kita jawab. Soalan pertama itu terlalu umum. Saya ingin lebih menjuruskan kepada soalan yang kedua.
Anak adalah permata yang paling bernilai buat kita. Ada yang beranak ramai, dan ada pula yang kurang rezekinya bab anak ni. Apa yang kita selalu lihat, orang susah di kampung-kampung selalu mempunyai anak yang ramai. Malah mencecah berbelas-belas orang. Di bandar tempat orang senang pula, anak mereka secara purata paling ramai cuma 4-5 orang sahaja. Dan ramai pula yang mempunyai anak tunggal.
Ada hikmahnya kejadian itu. Soal mereka merancang anak atau tidak, itu soal lain. Soalnya sekarang, Allah itu Maha Adil. Kurang rezeki wang, diberiNya rezeki anak dan sebaliknya. Rezeki itu melimpah di mana-mana dan cukup untuk semua orang. Terpulang pada kita untuk mencarinya atau tidak.
Anak-anak ini, harus dijaga dan diberikan pendidikan duniawi dan ukhrawi juga. Buat bekalan, kata orang. Namun sebenarnya, itu juga untuk bekalan kita di akhirat sana nanti. Mengapa?
“Apabila mati seorang anak Adam, maka terputuslah amalannya kecuali tiga perkara; sedekah jariah yang berterusan, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”(Riwayat Bukhari)
Inilah yang saya maksudkan dengan bekalan kita.
Tidak guna jika kita berjaya di dunia, harta berjuta-juta berbilion-bilion, tetapi tiada siapa yang akan mendoakan kita selepas kita mati. Maka jadilah kita fakir miskin di akhirat sana. Sedih apabila mengenangkan ramai rakan-rakan saya di luar sana yang hanyut dalam keseronokan dunia. Tergolong dalam golongan hedonistik.
Ibu bapa disegani, tapi anak? Ramai juga yang saya kenali semasa sekolah rendah berbelas tahun dahulu, kini sudah hilang jati diri. Tak mengapa jika ingin berseronok, tapi ingatlah ibu bapa kita.
Seperti kata kawan saya Fariz,
"Berdirinya mung di sini membawa maruah mok pok mung."
Beliau orang Terengganu, setahun setengah kami tinggal serumah kerana kami tidak mendapat kemudahan kolej.
Setiap orang yang mempunyai ibu bapa, pasti akan terfikir akan perkara ini sekurang-kurangnya sekali dalam hidup mereka. Melainkan ibu bapa mereka sendiri tidak kisah apa hendak jadi dengan anak mereka. Bagi sesetengah ibu bapa, cukuplah keperluan material mereka sahaja dipenuhi, sedangkan keperluan spiritual dan emosi mereka 'kebuluran'.
Semoga kita semua menjadi anak dan ibu bapa yang sedar akan kepentingan berkeluarga dan bekalan agama kepada anak-anak.
Kepada ibu-ibu di luar sana, saya mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada anda. Jasamu dikenang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Apa kata anda? Jom kongsi!