Misi hari ini adalah untuk membuka akaun bank untuk adikku yang bakal menjejakkan kaki ke menara gading hujung bulan ini. Kemudian, menghadiri Majlis Konvokesyen kakakku yang tamat pengajian dari Universiti Teknologi MARA.
Bercakap soal akaun bank, terdapat sebilangan keparat-keparat di luar sana dengan imej korporat yang mengambil kesempatan untuk menipu melalui e-banking. Sebilangan mereka ini menggunakan teknologi untuk 'merompak' wang kita semua secara senyap.
Teringat kata pensyarah saya tempoh hari. Katanya, sudah lama beliau tak ke bank dan pejabat pos untuk membayar bil dan sebagainya. Mudah, pantas dan menjimatkan masa. Inilah hidup di alaf 21. Segalanya di hujung jari.
Tetapi, apa yang tidak kita ketahui, urusan kewangan secara elektronik ini juga bakal mengundang padah jika tidak diperhatikan dengan teliti. Soalannya, berapa ramaikah antara kita yang memeriksa kembali baki akaun bank setelah membuat pembayaran secara atas talian (online)?
Kadang-kadang kita malas nak ambil tahu, bukan?
Bukan itu saja, malah pembayaran cukai juga kini melalui potongan gaji. Bagaimana kalau potongan itu terlebih, adakah ia akan dipulangkan kepada kita? Mungkin ya, namun prosesnya mengambil masa berbulan-bulan. Potong, serta-merta. Bayar balik, berkurun menunggu.
Sesetengah hal di dalam dunia ini adalah lebih baik dengan menggunakan 'cara lama'. Biarlah kita beratur, asalkan duit kita selamat. Kerana jika sudah ditakdirkan kita terbayar lebih, percayalah, kita tidak akan punya masa untuk menyelesaikan masalah ini. Kad kredit juga begitu.
Ada sesetengah orang lebih suka menggunakan cap jari bagi proses mengeluarkan wang. Mungkin cara ini dianggap kuno. Tapi inilah cara yang paling selamat. Tandatangan boleh dipalsukan, tetapi cap jari adalah unik bagi setiap orang.
Jadi, apa pun keputusan anda, fikirlah dengan teliti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Apa kata anda? Jom kongsi!