*Blog ni masih separuh siap sejak diimport dari wordpress hosting. Maaf atas kesulitan.

Rabu, 11 Mac 2009

Fikir Sejenak #2 - Siapa minat bola?


Aku menonton perlawanan bola hari ini antara Manchester United menentang Fulham (MU menang 4-0). Perkara pertama yang aku fikir – wow!. Malamnya, berita sukan Malaysia. Bola sepak kita pula. Dapat aku bayangkan andai pertemuan skuad luar negara (kelab cukuplah) melawan skuad negara kita. Kita akan kalah?

Tidak! Kita boleh menang. Tahukah anda caranya?

Hanya satu. Ini yang telah disuarakan oleh beberapa orang pakar dalam bola sepak kepada FAM. Iaitu, biar orang yang ahli dalam selok belok bola sepak yang mentadbir. Daripada ahli jawatankuasa hinggalah ke Majlis Tertinggi. Ini bermaksud, kedudukan itu hanya layak diisi oleh pemain-pemain Malaysia yang pernah muncul di arena antarabangsa dengan kejayaan membanggakan. Contoh – Layak ke Sukan Olimpik suatu masa dulu.
Andai Allahyarham Mokhtar Dahari masih hidup, akan aku sokong dia sebagai Presiden FAM. Tidak bermakna kau cuma tahu bermain bola, kau tak tahu cara pengurusan organisasi. Adakan satu kursus untuk mereka ini supaya mereka mampu mentadbir sendiri. Di universiti pun kita di ajar mentadbir, mengapa tidak berikan pendidikan yang serupa pada mereka?

Kita punya keinginan untuk melihat sukan bola sepak di Malaysia ini setanding dengan luar negara. Mereka bermain bola untuk hidup. Dan juga hidup untuk bermain bola. Dan mereka mampu hidup mewah dengan bermain bola. Bayaran yang diterima, usah dikira....

Ramai bergelar jutawan hanya dengan bermain bola. Disebabkan persaingan di sana cukup hebat, maka kebanyakan dari mereka yang tidak menyerlah dihantar ke sini yang kita panggil sebagai – Awang Import. Ironinya, mereka cukup menyerlah di sini. Itulah sebabnya Juan Manuel Arostegui yang berasal dari Argentina ingin kembali ke sini kerana tidak mendapat tempat di sana Jadi, di manakah standard kita?

Sering kedengaran suara nakal - "Mereka yang bertungkus lumus selama 18 tahun di sekolah hingga ke universiti hanya mendapat gaji permulaan RM 1 800 sebulan berbanding mereka yang bermain bola seperti budak sekolah juga mampu mendapat bayaran minima RM 3 000 sebulan." Ini sudah jadi bahan lawak sejak bertahun lamanya. Tanpa kita sedar, setiap kali kita melawak, kita seolah-olah meludah ke langit.

Berkenaan dengan FAM tadi, tidaklah aku menyangkal keupayaan orang politik untuk mentadbirnya, tetapi aku melihat kepada potensi yang lebih baik lagi andainya pucuk pimpinannya diberikan kepada mereka yang benar-benar pakar dan ahli dalam bola sepak. 

Bukan aku tidak patriotik kerana cadangan ini, malah inilah yang sebenarnya dikatakan patriotik, aku memberi cadangan untuk memajukan sukan tanah air kita, bukannya aku mengkritik tanpa penambahbaikan langsung.

Menjadi impian kita bersama untuk melihat sukan bola sepak di Malaysia setanding dengan sukan skuasy, badminton dan hoki di mana kita sudah berjaya melahirkan pemain bertaraf dunia.

Justeru segala usaha ini harus dilakukan oleh pihak atasan. Kami sebagai rakyat marhaen hanya mempunyai suara yang cukup kecil.

Namun begitu impian kita semua sama. Jadi – apa salahnya kita bekerjasama?

* Juan Manuel Arostegui – wira bagi kelab MPPJ sekitar 2004-2005 dahulu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Apa kata anda? Jom kongsi!