Aku adalah salah seorang insan yang bertuah di bumi ini. Kenapa?
Aku sempat untuk melihat alam persekolahan di dua zaman yang berbeza. Antara rotan dibenarkan dan rotan diharamkan. Aku menyorot kembali zaman-zaman persekolahan rendah aku dahulu.
Sekolah Kebangsaan Taman Setiawangsa (SKTS) (1995-2000)
Aku bersekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Taman Setiawangsa (SKTS), namun ia sudah bertukar nama menjadi Sekolah Kebangsaan Setiawangsa (SKS) apabila Setiawangsa mempunyai kawasan parlimennya sendiri. Dahulu Setiawangsa terletak dalam mukim Setapak pada sesiapa yang belum tahu.
Ketika aku darjah tiga, guru besarnya iaitu Cikgu Zakaria bin Mohamad Jana (ingatan aku bagus, bukan?) adalah seorang yang gemar berdiplomasi dalam menyelesaikan sesuatu masalah. Beliau tidak gemar merotan. Namun apabila aku di darjah 4 (1998), guru besar baru iaitu Cikgu Ruslan bin Madon (1998 – kini) adalah seorang guru besar yang bengis dan menakutkan. Beliau tidak akan teragak-agak untuk merotan di depan khalayak ramai. Dan kaedah itu aku kira berkesan. Cuma sekarang aku tak pasti beliau masih dengan rotannya atau tidak. 11 tahun menjadi guru besar bukanlah tempoh yang sekejap.
Kill one to warn hundreds – Bunuh satu untuk bagi amaran beratus yang lain.
Kini SKTS sudah menjadi sekolah harapan negara. Cikgu yang pernah mengajar aku dahulu kini masih lagi di situ. Aku pasti akan menziarahi mereka nanti. Cikgu Zahidah, Cikgu Zation Dahari (ini adik Mokhtar Dahari), Cikgu Nahariza (suka tarik sideburn bila aku bersalah), Cikgu Norhan, Cikgu Kamarul, Cikgu Zulkifli dan lain-lain sudah pasti akan aku kenang. Ingin aku tuliskan nama semua cikgu tetapi panjang sangat. Berbuat baiklah kepada guru. Besar pahala mereka kerana kita mengamalkan ilmu mereka sehingga kita mati.
Dan aku bangga aku dapat bersekolah di situ biarpun status itu hanya dicapai setelah aku tamat Darjah 6. Siapa lagi yang menaikkan nama sekolah sekarang kalau bukan kami yang terdahulu?
Sekolah Menengah Kebangsaan Taman Setiawangsa (SMKTS) (2001-2005)
Alam persekolahan ini adalah antara yang paling mencabar. Aku hampir menjadi mangsa pertama rotan oleh Ustaz Sayuti akibat tidak menghafal tauhid di dalam mata pelajaran agama. Dan sehingga kini aku masih ingat, Tauhid Rububiyyah dan sebagainya, terima kasih kepada Ustaz dan rotannya.
Namun sekolah ini masih baru waktu aku melangkah. Aku adalah generasi keempat. Dan pencapaian SPM belum lagi ada, kerana yang paling tua pun baru Tingkatan Empat!
Semasa aku Tingkatan Dua, hukuman disiplin menjadi sesuatu yang tidak masuk akal. Bagi siswa, kau dikehendaki membuka baju, dan memakai ‘rantai’ yang bertulis ‘Saya tidak akan melakukan kesalahan lagi’. Selain itu, rotan turut singgah di kaki. Bagi perempuan, hanya perlu memakai rantai tersebut. Dan akhirnya hukuman ini dimansuhkan setelah mendapat aduan daripada ibu bapa.
Bagi aku, rotan itu perlu, buka baju itu yang tak perlu. Ibu bapa kini terlalu defensif terhadap anak mereka.
Ingin aku ingatkan di sini, atas dasar kasihan terhadap masa depan pelajar yang dibuang sekolah, sekolah ini lah yang mengambil mereka sebagai pelajar kembali. Dan situasi ini cukup tidak menyenangkan buat pengawas sebagai salah satu badan disiplin di sekolah. Disiplin pelajar sedia ada belum dapat dikawal, masalah lain pula tiba. Namun inilah cabaran kepada kami.
Apa yang aku lihat, pelajar ini dengan rambut panjang berekor, malah berbelang – diwarnakan. Apa yang lebih menyedihkan, ibu bapa mereka juga begitu. Sudahlah berumur, berpakaian sendat dan berambut perang, apabila anaknya ditegur, ibu bapa akan turut marah. Bukan marah pada anaknya, tapi marah pada cikgu di sekolah.
Datuk Alimuddin Mohd Dom menyatakan supaya ibu bapa merotan sendiri anak mereka. Aku kira itu akan berjaya hanya jika ibu bapa tersebut bukan dari golongan seperti di atas ini.
Satu ketika dahulu, apabila kita melakukan kesalahan, cikgu akan merotan. Apabila bapa dapat tahu, bapa akan menambah rotan itu dua kali ganda. Mengapa? Beliau mahu mengajar supaya anaknya menjadi manusia. Tugas paling berat cikgu disiplin ialah – memanusiakan manusia. Dan hasilnya ialah manusia yang bertamadun. Namun yang dikesalkan, anak-anak mereka tidak diberikan pengajaran yang sama. Malah segala kemewahan dilimpahkan kepada anak-anak ini. Mengapa?
“Bapak tak mahu kau susah macam bapak dulu.”
Lama-kelamaan, terbitlah satu ungkapan menyindir iaitu – Anakku Sazali. Mahukan kita menjadi begini? P Ramlee telah menyindir sebahagian daripada kita tentang zaman ini berpuluh-puluh tahun dulu.
Malah, Nabi sendiri telah berpesan:
“Didiklah anakmu sebaik-baiknya, mereka akan melalui zaman yang sangat berbeza daripada zamanmu.”
Lalu apakah tindakan yang akan kita ambil kepada anak-anak kita nanti? Ibu bapa ada jawapannya. Namun, bukan semua ibu bapa berkesempatan menjaga kebajikan anak sendiri lantaran kebanyakan ibu bapa banyak menghabiskan masa di luar – bekerja. Justeru, adalah penting bagi memberikan kembali kuasa merotan kepada guru-guru – dengan tujuan mengajar, bukan melepaskan geram, membalun anak murid tak tentu fasal.
Aku dapat lihat, era generasi yang tidak bermoral ini bermula sekitar 2003, ini kerana aku bersekolah di bandar, dan gejala negatif begitu cepat sekali tersebar di bandar. Ibu bapa mereka adalah usahawan yang cukup berjaya. Berkereta besar, anak juga berkereta besar, dan tanpa lesen, mereka dibenarkan memandu.
“Saman? Nak takut apa, bapaku kawan rapat orang berkenaan. Aku boleh lepas punya.”
Atau pun, sekolahku berhampiran dengan kuarters polis dan tentera. Aku sangat menghormati mereka kerana mereka bekerja siang malam menjaga keamanan. Namun yang menyedihkan, anak-anak mereka, menunggang motorsikal tanpa lesen, bertiga, dan tanpa topi keledar.
“Saman? Ayah aku polis, nak takut apa?”
Apabila malam, berdesing telinga mendengar mereka merempit di tengah-tengah malam. Inilah generasi yang pada aku, tidak boleh dibanggakan langsung. Pernah sekali mereka terjatuh sewaktu mengambil selekoh, aku dan kawanku yang lain, bertepuk tangan sebelum membantu. Bagus sekali persembahan kau itu. Dan kau telah mendapat ‘trofi’ yang paling berharga di tubuh badanmu. Trofi yang kekal.
Pernah sewaktu temuduga untuk jawatan Ketua Pengawas, apabila ditanya tentang masalah disiplin sekolah kami, aku menjawab bahawa tahap disiplin pelajar di sekolah ini sudah berada di tahap yang teruk dan membimbangkan namun kita boleh perbaiki. Dan sahabat aku menjawab – Disiplin di sekolah ini masih terkawal jika dibandingkan dengan sekolah lain di bandar ini.
Dan semestinya jawapan kedua lebih disukai cikgu.. Jika dibandingkan dengan sekolah yang lebih teruk, sekolah yang teruk juga mampu kelihatan baik. Dan dia dipilih sebagai Ketua Pengawas. Tahniah! Namun aku tak berdendam kerana aku telah belajar sesuatu yang baru kali ini. Dan menimba pengalaman melalui pengalaman orang lain.
Pada aku, rotan patut dikembalikan kepada guru. Dan aku harap aku berjaya mendidik anakku nanti. Kepada ibu bapa, betapa ‘berkuasa’ nya anda di dunia ini, anda tidak berkuasa lagi sewaktu anda menjawab di akhirat tentang anak-anak anda. Jagalah mereka baik-baik agar mereka mampu menjaga anda ‘nanti’.
Entri kali ini begitu panjang. Jika anda mampu membaca hingga barisan ini, terima kasih dari saya dan tahniah kepada anda.